Lari dengan badan terbakar
Wartawan Sinar Harian
January 7, 2012
JERTIH - Empat lelaki melecur teruk hampir seluruh badan selepas belon gas yang sedang dipasang oleh dua daripada mereka tiba-tiba pecah dan terbakar di tapak Karnival Jalur Lebar 1 Malaysia di sini, malam kelmarin.
Kejadian berlaku pada kira-kira jam 9.15 malam itu semasa Kalidasan, 23, dan rakan setugasnya Mohamad Hanif, 17, sedang mengisi gas ke dalam belon gergasi sementara seorang lagi mangsa seorang pendawai elektrik, Yap Chi Keong, 30, sedang melihat kerja-kerja itu.
Api turut menyambar seorang lelaki warga emas, Mohd Nor Junoh, 55, dari Kampung Lampu, Kuala Besut kebetulan berada berhampiran tempat kejadian.
Pengurus syarikat kontraktor di karnival itu, Kenny Soo berkata, semua mangsa melecur teruk hampir seluruh badan dan kepala.
Katanya, tiga mangsa pertama adalah pekerja syarikat kontraktor yang dilantik bagi persiapan karnival itu.
Kenny berkata, ketiga-tiga mangsa yang berasal dari Kuala Lumpur sedang melakukan persiapan akhir di tapak karnival tersebut yang akan bermula hari ini.
Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian Kelantan
Sementara itu, anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia, Nik Masor Nik Soh berkata, dia terkejut apabila ternampak api sebelum melihat mangsa terbakar berlari sambil menjerit.
Katanya, pakaian dan rambut mereka terbakar sambil salah seorang berlari ke arahnya yang sedang bertugas mengawal di tapak karnival itu.
“Saya tidak sempat tolong mereka kerana api padam selepas itu dan nampak mereka terbakar,” katanya.
No comments:
Post a Comment