Ditembak rakan sendiri
28 Januari 2012
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, dalam kejadian di Kampung Kuchelong, Bachok pada jam 12.30 pagi itu, mangsa Nik Mohamad Baihaki Nik Mahmod, 17, cedera apabila satu daripada dua das tembakan yang dilepaskan oleh suspek berusia 24 tahun itu menembusi kaki kanannya.
Menurutnya, sebelum kejadian mangsa menggadai motosikal jenis Honda EX5 kepada suspek yang dikenali sebagai Edy beralamat di Kampung Kuchelong, Bekelam dengan harga RM200.
“Apabila mangsa mahu menebusnya semula, suspek meminta supaya membayar RM500, tetapi mangsa tidak mempunyai wang yang cukup dan dia kemudian ke rumah suspek sebelum bertindak mengambil kembali motosikal tersebut tanpa bayaran,” katanya.
Jalaluddin berkata, sebelum melepaskan tembakan, dikatakan berlaku perselisihan faham antara kedua-dua pihak berkenaan dan polis kini menjalankan gerakan memburu suspek, selepas dia melarikan diri sejurus kejadian.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh dan mangsa yang dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dilaporkan stabil.
Ibu mangsa, Hanani Mamat berkata, dia terkejut kerana hanya mengetahui kejadian itu setelah terserempak dengan mangsa yang ketika itu di Unit Kecemasan HUSM. Hanani berkata, dia berada di Unit Kecemasan HUSM kerana menghantar anak saudaranya, Wan Mohd Fais Wan Mohd Di, 17, selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya.
“Saya terkejut kerana ketika tunggu anak saudara menerima rawatan saya ternampak seorang lelaki cedera parah di kaki dan setelah melihatnya rupa-rupanya dia adalah anak saya,” katanya.
Dia tidak tahu punca sebenar kejadian kerana mangsa berkawan baik dengan lelaki tersebut.
No comments:
Post a Comment