Saturday, January 7, 2012

orang minyak makin berleluasa

Pengsan selepas dirasuk orang minyak
Wartawan Sinar Harian
January 7, 2012
Pengsan dirasuk orang minyak
SELANGOR – Serangan orang minyak di Kampung Laksamana semakin menjadi-jadi dan kali ini sasarannya adalah sebuah rumah di Jalan 10.

Pada kejadian jam 1 pagi semalam, penghuni rumah itu terkejut selepas terdengar bunyi dentuman dan orang berjalan di atas bumbung.

Pemilik rumah, Hafiz Zainudin, 22, berkata, dia yang masih belum tidur ketika itu terkejut apabila terdengar jeritan adiknya sebelum mendengar bunyi orang berjalan di atas bumbung.

Menurutnya, bunyi yang didengari cukup jelas dan dia tidak berani keluar rumah kerana terlalu takut.

“Saya memeriksa bumbung rumah selepas itu dan mendapati atap bahagian luar rumah pecah.

“Sebelum ini atap rumah berada di dalam keadaan elok, tetapi selepas kejadian terdapat kerosakan yang berlaku,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu adiknya, Shahria Zainudin, 15, berkata, ketika kejadian dia sedang menggosok baju sekolahnya.

Jelasnya, bunyi dentuman itu sangat kuat membuatkan dia panik terutama selepas kampung ini kecoh dengan cerita orang minyak.

“Kejadian tersebut pertama kali berlaku sejak 10 tahun kami tinggal di kampung ini,” katanya.

Sementara itu, pada malam yang sama beberapa petunjuk lain turut diperoleh bagi mengesan mereka yang bertanggungjawab terhadap gangguan yang berlaku di kampung sejak dua minggu lalu.

Sinar Harian ke sebuah lagi rumah di Jalan Nakhoda Kanan bagi menemui seorang wanita Roshani Muda, 38, yang dirasuk oleh orang minyak terbabit.

Wanita itu memberitahu orang minyak tersebut tinggal di kediaman bertingkat di kawasan sama.

Dalam pada itu, beberapa penduduk cuba mengesan kedudukan rumah yang digambarkan wanita dan siasatan mengenainya kini dilakukan untuk memberkas individu berkenaan.


Dakwa hantu raya

GOMBAK - Pengamal perubatan alternatif, Pak Yob, 55, menegaskan makhluk yang mengganggu penduduk Kampung Laksamana sejak lebih dua minggu adalah hantu raya bukannya orang minyak.

Menurutnya, orang minyak lazimnya tidak memasuki tubuh sesiapa sebaliknya perkara itu hanya boleh dilakukan oleh hantu raya.

“Hantu raya ini adalah belaan manusia, apa yang perlu dibuat sekarang ialah kena kesan siapa yang membelanya,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pak Yob berkata, berdasarkan pengalamannya, hantu raya boleh menghuru-harakan kawasan setempat sekiranya makhluk itu diarah berbuat demikian ataupun dia sudah tidak mempunyai tuan.

“Kalau hantu itu tidak mempunyai tuan, dia akan merayau-rayau di seluruh kampung,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan gambaran, hantu raya itu berwarna hitam dan berbulu lebat.

Sementara itu, seorang warga emas mendakwa dia ternampak kelibat hitam di belakang rumahnya ketika sedang berjaga di luar rumah Isnin lalu.

Shamsudin Kassim, 63, berkata, dia terkejut selepas terdengar zink rumahnya berbunyi sebelum ternampak seperti kelibat hitam di celah pokok pisangnya.

“Ketika itu saya dan dua orang lagi rakan sedang berjaga dan kelibat itu ghaib dengan pantas,” katanya.

Menurutnya, dia hanya sempat melihat pelepah pisang bergoyang dengan ketara selama beberapa saat seolah-olahnya ia sengaja dibuat.

No comments:

Post a Comment