Saturday, March 17, 2012

aweq curi duit pelanggan

Mewah hasil curi duit pelanggan


INONG Malinda Dee bergambar bersama kereta mewah sebelum dia diberkas oleh pihak polis kerana menggelapkan wang para pelanggan kaya Citibank Indonesia.


DEMI menikmati kehidupan mewah, bekas pengurus perkhidmatan pelanggan Citigroup Inc. di Indonesia, Inong Malinda Dee sanggup menggelapkan wang pelanggan-pelanggan bank tersebut. Didorong nafsu tamak haloba, wanita yang sering bermekap tebal itu telah bertindak memindahkan AS$5 juta (RM15.5 juta) daripada akaun pelanggan-pelanggan terbabit ke dalam akaunnya sendiri atau ahli keluarganya.
Perbuatan itu dilakukan di antara tahun 2007 dan Februari 2011 bagi membeli kereta mewah Ferrari, Porsche, Mercedes-Benz dan Hummer serta kediaman mewah, selain membiayai kos pembedahan plastik ke atas wajah dan tubuhnya.
Ekoran daripada penyelewengan tersebut, Malinda, 49, akhirnya dihukum penjara lapan tahun oleh sebuah mahkamah setelah disabitkan bersalah atas tuduhan mengemukakan transaksi data perbankan palsu dan pengubahan wang haram.
Mahkamah daerah di selatan Jakarta itu dalam keputusannya pada 7 Mac lalu turut memerintahkan wanita tersebut didenda 10 bilion rupiah (RM3.41 juta).
''Inong Malinda Dee telah dibuktikan terbabit dalam jenayah perbankan dan pengubahan wang haram,'' menurut Hakim Gusrizal dalam penghakimannya semasa mengetuai barisan panel tiga hakim yang bersidang.
Mahkamah mendapati Malinda mengelapkan wang daripada akaun beberapa pelanggan kaya Citibank dengan cara memalsukan dokumen dan mendepositkan wang tersebut ke dalam beberapa akaun termasuk di bawah nama adik perempuan dan adik iparnya sebelum dipindahkan ke akaunnya sendiri dan suami, Andhika Gumilang.
Suami Malinda, adik dan adik iparnya telah pun disabitkan dengan pertuduhan berkaitan dan dihukum penjara atau penahanan dalam rumah.
Malinda yang diberkas pada Mac tahun lalu bertanggungjawab melakukan 117 transaksi tanpa pengetahuan dan kebenaran 35 pemegang akaun bank terbabit.
Panel hakim memberitahu, Malinda menggunakan borang kosong pemindahan wang yang telah siap ditandatangani oleh pelanggan-pelanggannya atau memalsukan tandatangan mereka.
Usai perbicaraan, dia lantas dikerumuni wartawan yang mahu mendapatkan komennya, namun Malinda hanya mampu berkata:
''Saya tidak boleh bernafas, tolong beri laluan.''
Salah seorang daripada 17 barisan peguam yang mewakili Malinda, Batara Simbolon menyatakan bahawa mereka akan mengemukakan rayuan.
Seorang lagi peguam wanita tersebut, Muara Karta menyatakan, pihaknya akan memfailkan tuntutan sivil terhadap Citibank berhubung pembayaran yang telah dibuat oleh Malinda terhadap pembelian kereta-kereta mewah tersebut.
Panel hakim terbabit dalam keputusan mereka, mengarahkan kesemua kereta tersebut diserahkan kepada Citibank.
''Kami akan memfailkan saman sivil terhadap Citibank agar apa yang sah menjadi milik anak guam kami dipulangkan kepadanya,'' ujar Muara.
Kes terhadap Malinda dan siasatan berasingan berhubung kematian seorang pelanggan kad kredit Citigroup di sebuah pejabat bank tersebut mendorong bank pusat Indonesia mengenakan sekatan terhadap bank terbabit dan meningkatkan langkah-langkah mencegah penipuan ke atas peminjam di negara tersebut.
Pelanggan malang itu, Irzen Octa ditemui mati pada 29 Mac 2011 selepas berjumpa dengan pengutip-pengutip hutang yang dilantik oleh salah sebuah cawangan bank itu di Jakarta.
Sebuah mahkamah di kota metropolitan itu baru-baru ini membebaskan dua daripada pengutip hutang Citigroup daripada tuduhan melakukan serangan fizikal, manakala tiga lagi dihukum penjara setahun.
Citigroup pada awalnya melaporkan kes penyelewengan Malinda itu selepas menerima aduan daripada seorang pelanggan.
Malinda yang berkhidmat dengan bank tersebut sejak 1989 menerima gaji tahunan di antara AS$42,000 (RM127,263) dan AS$98,000 (RM297,340) tidak termasuk insentif. Wanita itu mengendalikan lebih 200 akaun yang setiap satunya mengandungi wang simpanan sekurang-kurangnya berjumlah 500 juta rupiah (RM165,798).

No comments:

Post a Comment