Sunday, March 11, 2012

mengawan dalam bilik air daa

Ditangkap ketika mengawan dalam bilik air
MOHD AZLIM ZAINURY
11 Mac 2012
Ular
MARANG – Tindakan pantas sekumpulan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) daerah Marang berjaya menyelamatkan ahli keluarga Mohd Abdullah dari Bukit Gasing di sini, daripada dipatuk dua ekor ular tedung senduk, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang itu, ketika salah seorang daripada dua anak Mohd ingin menggunakan bilik air sebelum mangsa terbabit melihat kehadiran dua ekor reptilia sepanjang satu meter di hadapannya. 

Pegawai operasi JPAM Marang, Koperal Wan Mohd Faizal Wan Ismail berkata, mangsa kemudiannya melihat haiwan itu seperti ingin mengembangkan kepala lalu terus menjerit meminta pertolongan daripada bapa mereka, Mohd yang berada di dalam rumah.

Menurutnya, sebaik sahaja mendengar jeritan anaknya, Mohd segera ke bilik air dan terus mengarahkan anaknya segera keluar serta menarik daun pintu bilik air bagi mengelak kedua-dua reptilia bertindak agresif apabila terlepas keluar dari bilik air itu.

“Kami menerima panggilan sejurus kemudian dan tiba di tempat kejadian lebih kurang 10 minit selepas itu. Saya bersama tiga lagi anggota JPAM Marang akhirnya berjaya menangkap reptilia tersebut walaupun kedua-dua reptilia itu bertindak agresif. 

“Inilah kejadian pertama yang membabitkan rumah dimasuki ular tedung senduk yang ingin mengawan kerana biasanya pasangan ular ini akan mengawan di kawasan jauh dari manusia dan syukurlah tiada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Mohd Faizal turut meminta orang ramai agar tidak bertindak sendiri dan segera menghubungi pihak berkuasa ketika berhadapan situasi seumpama itu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku menimpa mereka.

No comments:

Post a Comment