Friday, March 2, 2012

duit bawah bantal hangus

RM8,000 bawah bantal hangus
MOHD AZLIM ZAINURY
2 Mac 2012
rumah terbakar
MARANG  – Hasrat seorang tukang rumah membayar kos perbicaraan anak perempuannya di Mahkamah Kuala Lumpur bulan depan lebur, apabila RM8,000 yang disimpan untuk tujuan itu, musnah dalam kebakaran membabitkan dua rumah di sini, semalam.

Lebih malang, mangsa, Ngah Ibrahim, 69, yang tinggal di Jalan Padang Bola, Kampung Rhu Rendang itu, berkata, wang itu disimpan isterinya, Rokiah Hamzah di bawah bantal sejak lebih setahun lalu.

Bapa kepada lapan cahaya mata itu berkata, kebakaran itu berlaku kira-kira jam 3 petang ketika dia berada di Kuala Terengganu untuk membayar gaji pekerjanya, dan hanya menyedari kebakaran itu berlaku setengah jam selepas ia bermula.

“Saya dimaklumkan jiran melalui panggilan telefon kira-kira jam 3.30 petang. Saya kemudiannya bergegas pulang tetapi hampa apabila keseluruhan rumah saya telah musnah terbakar, termasuk wang yang disimpan isteri.

“Dia (Rokiah) menyimpan RM8,000 itu di bawah bantal, separuh daripada jumlah itu akan digunakan untuk membayar kos perbicaraan anak kami, yang akan dibicarakan di Mahkamah Kuala Lumpur bulan depan,” katanya.

Ngah berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian di Jalan Padang Bola Kampung Rhu Rendang di sini, semalam.

Sebuah lagi rumah yang musnah dalam kebakaran itu adalah kediaman adiknya, Ismail Ibrahim, 53.

Ngah yang enggan memberitahu mengenai butiran lanjut kes yang akan dibicarakan membabitkan anak perempuannya itu berkata, dia bersyukur dua cucu dan isterinya yang ketika itu berada di dalam rumah berjaya menyelamatkan diri.

Difahamkan dua beradik yang bekerja sebagai tukang rumah itu mengalami kerugian hampir setengah juta ringgit apabila rumah Ngah dianggarkan bernilai RM300,000 manakala kerosakan sebahagian rumah adiknya, Ismail pula dianggarkan bernilai RM100,000.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Marang, Zamri Awang Long ketika ditemui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.09 petang dan seramai 15 anggota bersama tiga jentera dari Balai Marang dan Kuala Terengganu bergegas ke tempat kejadian.

No comments:

Post a Comment