Parit 'gila' susahkan petani
13 Mac 2012
Petani, Man Kamis, 63, berkata, dia yang mengusahakan sawahnya secara aktif sejak 23 tahun lalu terpaksa menanggung rugi apabila tanaman padinya tidak dapat dituai berikutan keadaan tanah mendap.
Menurutnya, masalah terbabit berpunca dari sistem saliran air atau ‘parit gila’ yang tidak mempunyai saliran untuk mengalirkannya terus ke sungai setelah disalurkan ke petak sawah petani.
“Selama empat tahun kami petani terpaksa menanggung kerugian disebabkan tanah mendap, padi susah ditanam, bila masak pun sukar pula hendak menuai semuanya disebabkan keadaan tanah mendap. Kebanyakan mesin yang mahu menuai padi pasti akan tersangkut dalamnya, ada sampai tiga hari tidak dapat dikeluarkan, selepas itu petani dikenakan bayaran tambahan untuk mengeluarkan mesin yang tersangkut,” katanya ketika di temui Sinar Harian, semalam.
Man berkata, air yang berada dalam kawasan sawah akan bertakung dan pada musim kemarau tanah menjadi mendap.
“Parit gila ini dibina untuk menyalurkan air ke petak sawah, tetapi parit itu tidak dibina terus ke sungai dan hanya terhenti di separuh bahagian sahaja. Apabila air dipam ke dalam parit ia akan melimpah masuk secara berlebihan ke sawah menyebabkan kawasan sawah ditakungi air. Keadaan itu menyebabkan petani terpaksa menanggung rugi kerana tanaman kami tidak membuahkan hasil,” katanya.
Man berkata, pihaknya sudah membawa masalah ini kepada pihak yang bertanggungjawab, namun mereka masih belum menerima sebarang penyelesaian.
Menurutnya, cara yang terbaik untuk mengatasi masalah itu adalah dengan membina parit itu sehingga ke sungai bagi mengelakkan air melimpah keluar dan masuk ke dalam petak sawah.
“Saya mohon kepada pihak bertanggungjawab supaya dapat membantu petani mengatasi masalah ini, memandangkan kebanyakan penduduk di sekitar kawasan ini mencari rezeki dengan hasil padi,” katanya.
No comments:
Post a Comment