'Saya perlu ikut kehendaknya'
14 Mac 2012
Adzaman berjaya memujuk seorang lelaki yang cuba terjun dari tingkat empat bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar sekitar jam 5 petang, Ahad lalu, setelah hampir tiga jam perlu menggunakan pendekatan psikologi dan keagamaan.
Beliau berkata, bukan mudah memujuk lelaki yang dipanggil dengan gelaran Mat itu kerana dia tidak membenarkan dirinya dihampiri.
Menurutnya, pengalaman sebagai pegawai soal siasat di Jabatan Narkotik Bukit Aman pada tahun 2005 turut digunakannya sewaktu memujuk lelaki tersebut.
“Sewaktu berada di atas bangu-nan itu, saya terpaksa mengikut kehendaknya termasuklah menggolekkan botol air dan telefon milik saya kepadanya kerana dia tidak mahu didekati.
“Malah, lelaki itu juga memberitahu yang dia tidak mahu ada sesiapa di atas bangunan tersebut melainkan saya,” katanya kepada Sinar Harian.
Adzaman ketika itu menurut kehendak lelaki berkenaan mengarahkan anggotanya mengosongkan kawasan tersebut dan sekali lagi cuba memujuknya turun.
Menurutnya, sebelum Mat menuruni anak tangga, dia sempat menjenguk di bahagian bawah sama ada masih ada orang lain atau tidak.
“Sewaktu dia jenguk suasana di bahagian tangga, saya turut mengarahkan agar mengosongkan tempat tersebut atas permintaannya. Dia tidak mahu ada sesiapa di bawah kerana bimbang dia akan ditangkap dan malu atas perbuatannya itu,” katanya.
Adzaman kemudiannya mengajak Mat yang dianggap sebagai tetamu itu ke biliknya untuk bersembang lebih terperinci sebelum memanggil pegawai perubatan daripada Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) merawat lelaki itu.
Beliau berkata, sewaktu berada di dalam biliknya, Mat pada awalnya duduk bersila di lantai dan kemudiannya bangun duduk di sofa setelah diajak oleh Adzaman.
Menurutnya, setelah mendapatkan rawatan, Mat kemudiannya diajak ke HSB bagi menerima rawatan lanjut kerana bimbang dengan kesan minyak pelincir yang diminumnya.
“Sekali lagi, saya terpaksa memujuknya untuk ke HSB. Hampir 15 minit saya pujuk, barulah dia mahu menaiki ambulan untuk ke HSB, namun Mat sekali lagi meminta agar mengosongkan pintu masuk kerana tidak mahu ada orang melihatnya.
“Sebelum itu, Mat bersalaman dengan anggota polis dan pegawai perubatan, namun sewaktu bersalaman dengan saya, dia mencium tangan saya,” katanya.
Adzaman berkata, sepanjang tempoh dua tahun dia berkhidmat sebagai ketua polis daerah ini, kes seumpamanya merupakan kejadian pertama yang berlaku.
Menurutnya, kebiasaannya, kes sedemikian berlaku disebabkan individu itu mengalami masalah seperti putus cinta dan bercerai atau mengambil dadah dengan dos tinggi menyebabkan fikirannya terganggu.
No comments:
Post a Comment