Sunday, March 25, 2012

padah aweq u sain borang tanpa fikir

Penuntut IPTA dakwa dipaksa jurujual

KEHADIRAN seorang penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sebuah pasar raya adalah untuk melakukan soal selidik bagi memenuhi tugasan kursusnya, namun sebaliknya dia pula yang dipaksa membeli alat multimedia mempelajari bahasa Inggeris.

Penuntut itu yang hanya ingin dikenali sebagai Ani Rafikah, 19, berkata, pada mulanya dia sendiri tidak mempercayai dirinya yang 'termakan' dengan kata-kata manis jurujual sehingga sanggup membeli alat tersebut memandangkan transaksi jual beli berlaku dengan pantas.

Gadis tersebut yang baru memasuki universiti itu menjelaskan, ketika berada di pasar raya berkenaan, jurujual terbabit berkali-kali memaksanya membeli alat multimedia itu meskipun dia enggan berbuat demikian.

''Saya tidak berniat untuk membelinya, bagaimanapun saya telah membayar RM299 sebagai wang pendahuluan daripada harga keseluruhan yang berjumlah RM2,389.

''Selain membayar wang pendahuluan, saya menandatangani borang perjanjian yang menyatakan barang itu tidak boleh dipulangkan kepada penjual,'' ujar Ani.

Balik ke rumah, Ani berasa kesal dengan tindakannya itu yang dibuat tanpa berfikir panjang. Ekoran merasakan dirinya diperdaya, gadis itu kemudian memfailkan kes di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di ibu negara bagi menuntut agar perjanjian berkenaan dibatalkan.

Tuntutan itu didengar di hadapan Presiden tribunal, Datuk Abu Bakar Awang baru-baru ini yang turut dihadiri oleh wakil syarikat yang menjual alat tersebut.

Wakil syarikat itu yang dikenali sebagai Haziq memaklumkan bahawa perjanjian itu tidak boleh dibatalkan memandangkan Ani sendiri telah menandatanganinya.

''Sebagai seorang penuntut pusat pengajian tinggi, sepatutnya Ani mengetahui kesannya jika dia bersetuju dengan perjanjian berkenaan.

''Namun demikian, kami memberikan dua tawaran iaitu pertama, Ani hendaklah membayar secara ansuran sebanyak RM100 selama 21 bulan dan kedua, bayaran sebanyak dua kali untuk mencukupkan bayaran keseluruhan,'' ujar Haziq.

Ketika ditanya oleh Abu Bakar, apa pilihan Ani bagi menyelesaikan tuntutannya itu, gadis terbabit memilih untuk membayar secara ansuran selama 21 bulan.

Persetujuan bersama itu kemudian direkodkan oleh tribunal.

No comments:

Post a Comment