Wednesday, March 14, 2012

rumah bergoyang

Cemas rumah bergoyang
Wartawan Sinar Harian
14 Mac 2012
Cemas rumah bergoyang
AYER HITAM - Seorang bapa nekad mengajak dua anaknya berlari keluar selepas rumah mereka bergoyang dipukul ribut sebelum bumbung rumah mereka di Kampung Teluk Tui di sini pula diterbangkan pada petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa, Rusli Mahamud, 42, yang ketika itu sedang berehat di rumah bersama dua lagi anak lelakinya bergegas keluar rumah sebaik rumah mereka bergoyang dipukul ribut kuat.

Rusli berkata, mereka segera keluar dari rumah kerana bimbang ia akan runtuh memandangkan struktur rumah papan setingkat itu juga semakin usang dan mereput sejak beberapa tahun lalu.

“Mujur kami sempat berlari keluar dan selang beberapa minit selepas itu angin kuat menerbangkan beberapa keping bumbung zink di bahagian ruang tamu rumah. Nasib tiada perkara buruk yang menimpa kami tiga beranak yang kebetulan pada masa itu sedang berehat di ruang tamu itu,” katanya semalam.

Rusli yang bekerja sebagai nelayan bersyukur kerana penduduk kampung membantunya memasang sementara beberapa kepingan zink bagi menggantikan bumbung yang telah diterbangkan ribut.

Menurutnya, sekurang-kurangnya mereka sekeluarga tidaklah tidur dalam kebasahan pada malam tersebut.

“Buat masa ini saya tidak mampu untuk membaiki bumbung kerana pendapatan juga tidak seberapa bagi menanggung kos pembaikan itu,” katanya.

Difahamkan, tujuh rumah di Jerlun terjejas ribut yang melibatkan empat kampung termasuk Kampung Teluk Tui, Matang Kenanga, Kuala Sanglang dan Hilir Enam Kupang.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif yang meninjau beberapa kawasan yang dilanda ribut memberitahu sebanyak lima rumah terbabit akan diberi bantuan segera bagi membaiki rumah mereka dalam tempoh dua hari ini.

Menurutnya, pihaknya menggunakan peruntukan Ahli Parlimen bagi membantu mangsa membaiki segera rumah mereka yang rosak akibat ribut.

“Manakala dua rumah lagi akan dirujuk segera kepada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) dan Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah (ICU) bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment