Tuesday, March 13, 2012

jual pakaian dalam pun kaya

Kaya jual pakaian dalam

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SPANX sangat terkenal hingga setiap kali kita melihat kelibat selebriti memakai pakaian dalam pelangsing badan itu, nama jenama pakaian terbabit pasti tampil dalam tajuk beritanya.

Dan kelihatannya bukan senarai A saja, tetapi pengasas syarikat Spanx, Sara Blakley muncul pada kulit depan majalah Forbes edisi bilionair, minggu lalu.

Wanita berusia 41 tahun yang berasal dari Florida tetapi kini berpangkalan di New York itu adalah usahawan wanita termuda dalam senarai itu.

Majalah itu mendedahkan bagaimana pengasas kepada syarikat yang dianggarkan bernilai AS$1 bilion (RM3.2 bilion) itu takut dengan ketinggian, terbang dan bercakap depan khalayak ramai.


Dan walaupun mempunyai kelemahan sedemikian, Sara berjaya mengumpul hartanya itu atas usahanya sendiri dengan memandu ke seluruh negara untuk demonstrasi dan menjawab panggilan telefon pelanggan dari bilik air di kediamannya.


Pernah menjadi kakitangan Disneyworld, Sara mula mendapat inspirasi untuk berniaga ketika sibuk mengendalikan mesin faksimili untuk Danks, syarikat bekalan alat tulis pejabat di Florida.

Tidak selesa dengan cuaca lembap dia terdesak untuk mendapatkan sepasang sarung kaki yang tidak mempunyai kelim dan tidak bergulung ketika memotongnya.

Sara menjelaskan kepada Forbes: “Saya tidak pernah bekerja dalam bidang fesyen atau peruncitan. Saya hanya perlukan pakaian dalam yang tidak wujud.”

Selepas mengetepikan wang simpanannya sebanyak $5,000 (RM16,000), Sara berpindah ke Atlanta dan membuat penyelidikan, berkunjung dari kilang ke kilang untuk membolehkan produk barunya dihasilkan.

Bagi menjimatkan yuran guaman sebanyak $3,000 (RM9,600) yang diperlukan untuk mematen nama jenama produk, dia menggunakan buku teks Barnes & Noble dan belajar melakukannya sendiri.

Mengenai nama jenama itu, Sara berkata: “Perkataan Spanx memang kelakar. Ia membuatkan orang ketawa. Tiada orang yang akan lupa nama itu.”

Tanpa sesen dibelanjakan untuk pembungkusan atau pengiklanan, usahawan licik meluangkan masanya pada waktu malam menggunakan komputer rakannya mereka logo dan membaca tentang tip pemasaran.

Dalam kisah Forbes itu, dia menceritakan imejnya dirakam kamera CCTV berulang kali dalam pusat beli-belah kerana memperbetulkan produknya supaya ia diletakkan dengan baik.

Karakter dan tuah yang dipegang untuk melancarkan perniagaannya disebut CEO Neiman Marcus, Karen Katz yang melihat produknya buat kali pertama.

“Usaha Sara adalah untuk menyelesaikan masalah yang sudah lama membelenggu wanita dengan cara yang moden,” katanya sambil menambah: “Kami sudah terpikat sejak awal-awal lagi,” katanya.

Ketika Oprah mengumumkan dalam rancangannya bahawa Spanx adalah produk kegemarannya pada tahun 2000 walaupun tidak mempunyai laman web ketika itu, perniagaan itu terus meletup.

Pada tahun pertamanya, syarikat yang masih dimiliki keseluruhannya oleh Sara meraih jualan $4 juta (RM12.8 juta) dengan jualan mengagumkan sebanyak $10 juta (RM30.2 juta) tahun berikutnya.

Dan sepanjang tempoh ini, Sara tidak pernah membelanjakan walau sesen untuk iklan atau bergantung kepada sokongan pelabur.

Hari ini sembilan katalog dihantar kepada enam juta pembeli setiap tahun dan pengasas Spanx merancang meluaskan perniagaan bersama CEO syarikat itu, Laurie Ann Goldman.

Rancangan termasuk membuka kedai, mempelbagaikan produk dengan harga lebih murah dan pakaian renang.

Mengenai harta dimilikinya itu yang membolehkan dia membeli enam kediaman bersama suaminya, Jesse Itzler dan anak lelaki mereka berusia dua tahun, Laser, Sara berkata: “Saya rasa wang membuatkan anda lebih dikenali.

“Jika anda seorang celaka, anda menjadi celaka yang hebat. Jika anda baik, anda menjadi lebih baik. Memang seronok memperoleh wang, seronok untuk dibelanjakan dan seronok untuk disumbangkan.”

Dan memikirkan tentang permulaannya yang merendah diri itu Sara berkata: “Lima ribu dolar. Pelaburan yang baik.”

No comments:

Post a Comment