Friday, March 16, 2012

dibuli kerana kencing atas tuala

Kencing di tuala, tidak sidai punca pelajar dibuli

SEREMBAN 14 Mac - Kencing pada tuala dan tidak menyidai tuala dengan baik dikatakan menjadi punca pelajar, Faqrul Hakimi Mohd. Kamarulzaman, 7, dibuli dengan teruk sehingga cedera dan lebam-lebam di seluruh anggota badannya pada 2 Mac lalu.

Mangsa dikatakan telah dipukul oleh sembilan penghuni rumah anak yatim di Taman England yang bersekolah di Sekolah Menengah Dato' Mohd. Redza di Sikamat dekat sini.

Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri, Abdullah Hanapi berkata, maklumat itu diperolehi daripada Pejabat Pelajaran Negeri yang memaklumkan kepada pihaknya yang turut melakukan siasatan ke atas rumah anak yatim tersebut.

"Kanak-kanak itu dipukul oleh sembilan pelajar senior atas sebab dia kencing pada tuala dan tidak menyidai tuala dengan baik," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Utusan Malaysia pada 6 Mac lalu melaporkan Faqrul Hakimi yang juga murid tahun satu sebuah sekolah kebangsaan di sini trauma selepas disyaki dibuli rakan-rakannya sehingga cedera dan lebam-lebam di seluruh anggota badannya.

Mangsa mengalami kesan lebam pada muka, badan, paha dan betis yang disyaki akibat dipukul dengan objek keras.

Menurut ibunya, Suzianawati Mohamad, 33, dia menyedari kejadian menimpa anak sulungnya itu ketika menjemputnya dari rumah anak yatim di Taman England dekat sini pukul 7.30 petang pada hari berkenaan.

Abdullah berkata, pihak PPD memaklumkan akan menggantung persekolahan tujuh pelajar berkenaan selama dua minggu manakala dua lagi kanak-kanak akan dihantar pulang ke pangkuan keluarga masing-masing oleh pihak pengurusan rumah anak yatim tersebut.

Tambahnya, pusat jagaan itu masih dalam proses pendaftaran dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana menunggu beberapa dokumen yang belum disempurnakan.

No comments:

Post a Comment