Saturday, March 17, 2012

fitnah jual air ketum

Difitnah jual air ketum
KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
17 Mac 2012
Difitnah jual air ketum
ARAU - Gara-gara difitnah menjalankan perniagaan haram menjual air daun ketum secara sulit di premis kedai makannya, seorang peniaga bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Arau, di sini pada 13 Mac lalu berhubung tindakan penyebaran fitnah itu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
Peniaga kedai makan ‘Karaoke Simpang Tiga’, Norma Manan, 40, berkata beliau bersama suaminya, Latiff Hamid, 52, terkejut apabila didatangi seorang pelanggan tetap yang cuba mendapatkan kepastian sama ada premisnya benar-benar diserbu beberapa agensi penguat kuasa undang-undang termasuk Jabatan Agama Islam Negeri Perlis (Jaips) atas beberapa dakwaan yang tidak munasabah sebagaimana dinyatakan dalam satu SMS pada 11 Mac lalu.
Menurutnya, kandungan SMS itu mendakwa beberapa akhbar tempatan termasuk Sinar Harian melaporkan berita polis, Jaips dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) akan membuat serbuan pada bila-bila masa di premis perniagaan karaoke miliknya gara-gara berlakunya pergaduhan, tiada lesen hiburan, didapati menjual air ketum secara sulit dan pelanggan menari keterlaluan pada 8 Mac lalu.
“Bagaimanapun, apabila kami sekeluarga menyelidik dan menyemak semula akhbar Sinar Harian bertarikh 8 dan 9 Mac lalu, ternyata tiada laporan berita sebagaimana didakwa dan lebih mengecewakan kami, SMS itu disebarkan kepada semua pelanggan tetap kami melalui satu nombor telefon misteri. Saya yakin tujuan penyebaran fitnah melalui SMS itu dilakukan disebabkan individu terbabit cuba mensabotaj perniagaan kami yang telah berjalan lancar sejak tiga tahun lalu dan saya memohon jasa baik polis untuk memberkas individu terbabit untuk dikenakan tindakan undang-undang,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di sini semalam.
Norma berkata, walaupun premisnya yang terletak di Kok Klang, di sini menyediakan hiburan berbentuk karaoke, pihaknya sentiasa memastikan premis itu tidak dicemari dengan perbuatan menyalahi agama termasuklah tidak membenarkan minuman keras dan air daun ketum dibawa masuk ke dalam kedai.
Menurutnya, beliau turut memastikan perkhidmatan karaoke yang disediakan mematuhi peraturan ditetapkan MPK iaitu tidak melebihi jam 12 tengah malam selain tidak beroperasi pada malam Jumaat dan bulan puasa.
“Setakat ini, pelanggan tetap yang hadir ke premis saya bukan setakat rakyat Perlis, malah turut dikunjungi orang Jitra, Alor Setar dan Pokok Sena, Kedah. Selama ini, premis kami tidak pernah menghadapi masalah dengan agensi penguat kuasa undang-undang kerana kami cukup menjaga peraturan yang ditetapkan . Saya kecewa dengan fitnah yang dilemparkan kerana sedikit sebanyak menjejaskan reputasi perniagaan kami,” katanya.
Norma berkata, beliau dan suaminya sebenarnya sudah mengenal pasti individu yang bertanggungjawab menyebarkan SMS fitnah itu kepada majoriti pelanggannya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu terlibat dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment