Wednesday, June 22, 2011

Buat Karangan Baru Boleh Kawin

Bakal pengantin perlu tulis karangan

KUALA TERENGGANU 21 Jun - Bakal pengantin yang ingin menyertai program My Idol, Raja Sehari 1Malaysia 1Pasangan di sini dimestikan menyiapkan karangan tidak kurang daripada 300 patah perkataan bertajuk 'Kenapa saya layak dipilih...'

Itu antara syarat yang dikenakan penganjur kepada mana-mana pasangan di negeri ini yang ingin melangsungkan perkahwinan secara percuma anjuran pejabat UMNO Bahagian Kuala Terengganu.

Menurut Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, program itu terbuka kepada pasangan yang tidak pernah berkahwin, berpendapatan tidak melebihi RM1,500 sebulan serta kesempitan wang untuk berkahwin.

Katanya, hanya 10 pasangan terbaik yang terdiri daripada lapan pasangan Melayu dan masing-masing satu pasangan Cina dan India akan dipilih menyertai program berkenaan.

"Salah seorang daripada pasangan itu perlu berusia tidak kurang daripada 21 tahun dan bermastautin di sini (Parlimen Kuala Terengganu)," katanya di sini hari ini.

Majlis akad nikah untuk pasangan yang menyertai program itu akan diadakan pada 16 September ini di Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam (TTI) manakala jamuan rakyat yang turut dihadiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said pula akan diadakan di Dataran Shahbandar di sini, sehari kemudian.

Selain pejabat UMNO Bahagian Kuala Terengganu, program itu turut mendapat kerjasama Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT), Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Pejabat Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian negeri.

Wan Ahmad Farid memberitahu, kesemua majlis perkahwinan itu nanti bukan sahaja akan ditaja sepenuhnya, malah setiap pasangan juga berpeluang menerima wang saku sekurang-kurangnya RM5,000.

"Setiap pasangan akan diberikan satu khemah khas dan mereka dibenarkan menghantar jemputan kepada 1,000 tetamu bagi memeriahkan majlis," katanya.

Tambah beliau, borang untuk menyertai program itu boleh didapati di pejabat UMNO Bahagian Kuala Terengganu di Jalan Gong Kapas di sini dan karangan yang siap perlu dikembalikan ke tempat yang sama sebelum 17 Julai ini.

Dalam perkembangan berasingan, Wan Ahmad Farid berkata, pihaknya akan mewujudkan laman Facebook khas bagi memantau persiapan pasangan berkenaan serta memberi peluang kepada orang ramai untuk mengundi pasangan paling popular.

"Kita juga akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk meluluskan pinjaman perumahan kepada semua 10 pasangan terbabit bagi membolehkan mereka memiliki kediaman sendiri selepas berkahwin," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment