Friday, June 17, 2011

Masut Pusat Kena Rantai

11 lelaki ditemui kaki dirantai

Oleh MOHD. ISWAN SHAFIQ MAT ISA
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 16 Jun - Seramai 11 lelaki yang 'dirawat' di sebuah pusat rawatan dan pemulihan akhlak swasta di Kampung Bukit Gasing, Seberang Marang dekat sini ditemui terkurung dalam sebuah rumah dengan kaki masing-masing dirantai, semalam.

Selain penghuni lelaki berusia antara 15 hingga 36 tahun itu, dua penghuni wanita berusia 23 dan 24 tahun turut ditemui dikurung dalam sebuah rumah lain yang dijadikan pusat pemulihan akhlak dan pusat rawatan tersebut.

Semua mereka ditemui sepasukan polis setelah bapa kepada salah seorang daripada penghuni itu membuat laporan ekoran kecewa kerana tidak dibenarkan berjumpa anaknya yang dirawat di pusat rawatan itu.

Polis yang menyerbu dua buah rumah yang dijadikan pusat rawatan dan pemulihan akhlak itu menemui 11 penghuni lelaki dan dua wanita yang dikurung berasingan.

Bagaimanapun, kedua-dua penghuni wanita itu tidak dirantai atau diapa-apakan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, berikutan itu, polis menahan tiga lelaki berusia antara 38 hingga 50 tahun termasuk pengurus pusat pemulihan akhlak tersebut untuk disoal-siasat.

Katanya, berdasarkan siasatan awal polis, kesemua lelaki yang dikurung mendakwa mereka turut didera termasuk ditampar dan dirotan.

"Dalam serbuan kira-kira pukul 5 petang, polis merampas semua alat yang digunakan untuk mendera penghuni itu termasuk wayar dan kabel," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Manoharan, kesemua mangsa kini dihantar ke Jabatan Kebajikan Daerah Marang untuk penempatan sementara setelah menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital berdekatan.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001, Seksyen 344 Kanun Keseksaan kerana mengurung orang dengan salah serta Seksyen 324 kerana mendatangkan kecederaan.

"Polis juga sedang menyiasat pusat rawatan itu dan berdasarkan maklumat awal, ia dimiliki oleh sebuah pertubuhan yang tidak berdaftar," katanya.

No comments:

Post a Comment