Tuesday, June 21, 2011

No Ekor

Jangan terpedaya sindiket judi ekor

KUALA LUMPUR 20 Jun - Orang ramai dinasihatkan tidak terpedaya dengan sindiket penipuan dikenali sebagai Watt Manicom Dun, kononnya boleh mendapatkan nombor ekor bertuah menggunakan ramalan sami yang disebarkan menerusi risalah selain khidmat pesanan ringkas (SMS).

Sehingga kini, sebanyak 14 kes tertipu dilaporkan berlaku yang melibatkan kerugian mencecah RM1.6 juta dengan mangsa-mangsa dikesan dari Petaling Jaya dan Shah Alam, sejak dua tahun lalu.

Ketua Jabatan Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, laporan mendapati mangsa terlibat menerima risalah berkenaan di kawasan letak kenderaan.

"Mangsa yang terpedaya untuk mendapat nombor bertuah dijanjikan, diminta memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank," katanya pada sidang akbar di sini hari ini.

Tambahnya, melalui siasatan, sindiket itu beroperasi dengan menggunakan alamat palsu dan segala urusan dijalankan melalui panggilan telefon dan SMS.

"Jika dulu sindiket Watt Manicom Dun menyasarkan mangsa di kalangan kaum Cina, tetapi kini turut menjadikan kaum Melayu dan India sebagai sasaran terutamanya golongan wanita," katanya.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd. Khairun Aseh pula berkata, pihaknya akan menjalankan kempen kesedaran di lokasi tumpuan orang ramai bagi mengelakkan lebih ramai terpedaya dengan sindiket itu.

"Sebagai orang Islam, mereka diminta supaya tidak terjebak dengan kegiatan membeli nombor ramalan tersebut kerana haram di sisi agama.

"Saya harap orang ramai yang pernah menjadi mangsa penipuan sindiket itu tampil buat aduan dan beri maklumat bagi membantu pihak polis menjalankan siasatan," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment