Monday, June 6, 2011

Susah Di Lombok

Norhalisa, anak menderita di Lombok

KLUANG 5 Jun - "Memang saya marah dia ikut lelaki Lombok, tetapi sebagai ibu, tidak sampai hati membiarkan anak dan cucu dibiar sebatang kara di negara orang setelah ditinggalkan suaminya."

Itu rintihan seorang ibu, Joriyah Ismail, 41, kepada Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO bagi membantu membawa pulang anak perempuannya, Norhalisa Umno@Mohammad, 23, yang berasal dari Kampung Tengah, Layang-Layang, Simpang Renggam dan kini berada di Lombok, Indonesia sejak tiga tahun lalu.

Norhalisa mempunyai seorang anak lelaki berusia setahun setengah bernama Haiqal hasil perkahwinan dengan lelaki yang hanya dikenali sebagai Man Lombok yang kini telah meninggalkannya selepas mendapat pekerjaan baru di Brunei.

Menurut Joriyah, anak perempuan sulung daripada enam anaknya itu terpaksa berpindah keluar selepas bergaduh dengan keluarga mertua dan kini menumpang di rumah seorang rakan di Gunung Mujur, Desa Bujak, Kecamatan Batukliang.

Joriyah berkata, Norhalisa meninggalkan rumah ketika berusia 19 tahun tanpa khabar berita dan usaha keluarga mencarinya menemui kegagalan sehinggalah pada Mac lalu, Norhalisa menghubunginya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan memberitahu penderitaannya di Lombok.

"Dia beritahu yang dia telah berkahwin dengan lelaki Lombok dan mempunyai seorang anak bernama Haiqal yang berusia setahun setengah. Dia menyesal atas perbuatannya dan meminta keluarga membantu membawanya pulang kerana tidak tahan menderita," katanya di Simpang Renggam, dekat sini, hari ini.

Ibu malang itu menyuarakan rintihan kepada Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd. Khairun Aseh selepas pemimpin itu merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Simpang Renggam.

Sementara itu, Muhd. Khairun berkata, Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO dan UMNO Simpang Renggam akan melakukan yang terbaik, namun menyatakan Norhalisa telah melanggar undang-undang imigresen Indonesia apabila memasuki negara itu secara haram.

"Ia membawa hukuman penjara enam tahun atau denda 30 juta Rupiah (RM10,600), tetapi kita akan berunding dengan pihak berkuasa Indonesia supaya Norhalisa dapat dibebaskan. Cuma besar kemungkinan dia akan ditahan, sementara menanti keputusan sama ada pendakwaan diteruskan atau tidak," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment