Friday, June 24, 2011

Lesen Mati Punya Hal

Lesen tamat tempoh, anggota JPJ pula dimarahi

Sepasang suami isteri bersama dua anak mereka terpaksa meminta bantuan keluarga apabila motosikal mereka disita oleh pegawai JPJ kerana ketiadaan lesen memandu dan cukai jalan di Lebuh AMJ, Melaka, kelmarin.

MELAKA 23 Jun – Tindakan seorang pekerja kilang memarahi anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan membuat pelbagai alasan kerana lesen tamat tempoh sia-sia apabila lelaki itu tetap disaman.

Lelaki berusia 40-an itu disaman dalam satu sekatan jalan raya di Lebuh AMJ berhampiran Hotel Straits Meridian di sini, pukul 9 malam semalam.

Berang apabila permintaannya tidak dilayan anggota JPJ, lelaki itu menghampiri kumpulan wartawan yang membuat liputan pula untuk menceritakan masalahnya selama 15 minit.

“Encik fikir sendirilah, saya penat bekerja lebih masa sampai malam semata-mata mahu kumpul duit untuk raya tak lama lagi, tapi lemah semangat bila kena bayar saman RM300.

“Lesen saya baru tamat 9 Jun, sepatutnya janganlah saman, bincang dahulu,” katanya.

Lelaki itu antara yang disaman dalam operasi bersepadu melibatkan Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Majlis Keselamatan Jalan Raya, Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Pengarah JPJ negeri, Mohd. Fadhil Hassan berkata, dalam operasi itu pihaknya memeriksa 205 kenderaan dan mengeluarkan 47 saman melibatkan pelbagai kesalahan selain turut menyita 26 buah motosikal.

“Daripada saman yang dikeluarkan, sebanyak 23 kes tidak mempunyai lesen memandu, tiada atau tamat tempoh lesen kenderaan motor (15), tidak pamer pelekat P atau L (tiga), lampu HID dan cermin gelap (tiga) dan lain-lain tiga kes.

“Operasi yang pertama kali diadakan tahun ini bertujuan mendisiplinkan pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan dan keselamatan akan diteruskan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Tambahnya, ia juga bagi meningkatkan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain dalam usaha membanteras jenayah serta pematuhan terhadap beberapa peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

No comments:

Post a Comment