Sunday, June 5, 2011

FB Macam sambal Belacan

Hebat sekali facebook bagi seorang perempuan

Kucing Jantan

MENGAPA aku menyertai facebook? Aku bukan suka sangat dengan facebook ini. Ia hanya menambah kerja harian dalam kehidupan aku yang sudah sememangnya sibuk..

Aku sudah hidup lebih separuh abad tanpa facebook. Aku ada kawan. Aku boleh menulis. Aku boleh bagi komen. Aku tidak pernah memerlukan facebook.

Tetapi dua tahun lalu, ada seorang wanita yang sudah ku kenal lama beriya-iya memujuk aku supaya menyertai facebook. Aku malaslah. Bukan saja aku tidak berminat hal-hal Internet dan gajet ini, tetapi yang pasti ia akan menarik masa aku yang sudah sememangnya sesak.

Oleh kerana berkali-kali dia memujuk aku menyertai facebook, dengan sebab utamanya ialah aku tidak mahu mengecilkan hatinya, maka akhirnya aku terkial-kial juga membuka akaun facebook.

Tetapi aku memang malaslah hendak buat benda-benda ini. Bagaimanapun kawan aku itu penuh semangat mengajar aku bagaimana membuka akaun facebook dan menulis di dalamnya.

Sebenarnya aku tidak faham apa motivasi dan motifnya yang beriya-iya meminta aku membuka akaun facebook. Pastinya dia sendiri memang aktif dalam facebook, mempunyai beratus-ratus kawan dan sentiasa memasukkan bahan-bahan mengenai kehidupan sehariannya.

Bukannya ada apa serius pun. Dia akan ceritakan apa yang dilakukan setiap hari. Bangun pagi, makan apa, buat apa. Bersembang-sembang ringan dengan kawan-kawan facebooknya itu.

Tetapi aku bukannya mempunyai minat yang sama dalam hal ini. Tidaklah aku berminat untuk menceritakan apa yang aku lakukan setiap hari dalam facebook. Untuk apa? Macam tidak ada kerja lain. Tetapi bagi banyak orang menceritakan apa yang dilakukannya setiap hari ke dalam

facebook, termasuk keluh-kesahnya, atau apa yang dimakannya pada hari

berkenaan adalah merupakan suatu kepuasan.

Tetapi oleh kerana hendak memenuhi kehendaknya, maka aku mengorak langkahlah juga membuka akaun fecebook. Pertamanya, aku gunakan emel untuk mendaftar.

Pada mulanya aku merancang untuk guna nama sebenar. Sebabnya aku mahu kehadiran aku dalam facebook dalam keadaan telus dan jujur. Tentunya kawan-kawan aku yang ku kenal sepanjang hidup aku akan mudah mencari aku jika guna nama sebenar.

Tetapi kawan aku yang beriya-iya memujuk aku menyertai facebook itu melarang aku daripada menggunakan nama sebenar.

Menurutnya dia mahu menjadi kawan facebook aku tetapi tidak mahu kawan-kawannya tahu yang dia kenal aku.

Sudah. Kalau macam ini, tidaklah boleh aku telus dan jujur. Kawan-kawan aku sendiri tentulah tidak akan dapat mencari aku kecuali aku yang memberitahu bahawa aku menggunakan nama samaran sekian-sekian.

Tetapi oleh kerana aku pun bukanlah hendak sangat menyertai facebook, dan aku buat ini pun kerana memenuhi desakan kawan aku itu, justeru aku pun gunalah nama samaran. Nama samaran itu pun dia yang bagi.

Dialah yang menjadi kawan pertama aku. Kemudian setelah aku beritahu kawan-kawan aku mengenai nama samaran itu, maka banyaklah kawanku yang lain turut menyertainya.

Nama samaran aku itu berbunyi seperti aku ini seorang perempuan. Itu jugalah kehendak kawan aku itu. Jadi apabila kawan-kawannya dalam facebook melihat aku komen atau tulis apa saja, tentulah mereka sangka aku ini seorang perempuan.

Aku percaya dia tidak mahu kawan-kawannya tahu yang dia kenal atau berhubung dengan aku.

Oleh kerana dia mahu sembunyikan identiti aku, maka dia juga melarang aku meletakkan gambar sebenar.

Dia emelkan gambar kucing sebagai foto profail facebook aku. Justeru, tidaklah kawan-kawannya dapat mengecam siapa diriku.

Maka berbahagialah dia dapat

berhubung dengan aku melalui facebook.

Bukannya apa, saja bersembang-sembang perkara ringan dalam kehidupan seharian.

Suatu hari aku bergaduh dengan dia. Aku pun unfriend dia daripada facebook aku. Selain bercadang untuk terus tutup.

Dia marah. Katanya unfriend dia bermakna memadamkan dia daripada muka bumi ini. Oh, begitu hebat sekali facebook ini bagi seorang perempuan

No comments:

Post a Comment