Friday, June 17, 2011

Pusat Tahfiz Kejam

Ibu tunggal dakwa tiga anak dipukul di pusat tahfiz

FOUZIAH Mohd. Tabi (kiri) melihat kesan kecederaan yang dialami oleh Khayrin Qistina Faqihah (tengah) dan Zeekey Ismeth Faqih Azuki di Wad Kanak-Kanak HSA, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 16 Jun - Seorang ibu tunggal mendakwa tiga anaknya yang belajar di sebuah pusat tahfiz di Taman Tampoi Utama di sini, dipukul, dirotan, ditampar dan dipijak di kepala oleh tenaga pengajar di asrama pusat berkenaan.

Menurut Fouziah Mohd. Tabi, 36, ketiga-tiga anaknya iaitu Zeekey Ismeth Faqih Azuki, 9, Khayrin Qistina Faqihah, 13, dan Nurin Athirah Faqihah, 15, mula mengikuti pembelajaran di pusat tahfiz berkenaan pada Mac dan April lalu.

Dia memasukkan tiga daripada enam anaknya itu ke pusat berkenaan untuk mendapatkan ilmu agama kerana dia sibuk berniaga kecil-kecilan untuk menyara keluarga selepas kematian suaminya setahun lalu.

Dakwanya, ketiga-tiga anaknya itu mula dihukum oleh seorang ustazah dan dua ustaz yang menjaga asrama di pusat tahfiz berkenaan sejak dua minggu lalu.

"Khayrin didakwa mencuri wang RM20 milik salah seorang ustazah sebelum dia dipukul, ditendang, ditampar, dirotan selain dipijak di kepala.

"Nurin pernah dirotan sebelum diusir keluar dari asrama kerana didakwa mengumpat ustazah yang menghukum adiknya," katanya semasa ditemui di Wad Kanak-Kanak Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini hari ini.

Fouziah berkata, Zeekey turut mengalami nasib sama apabila dirotan atas kesalahan keluar dari asrama tanpa kebenaran.

"Saya tak kisah seandainya mereka dihukum jika benar mereka bersalah, tetapi saya tidak setuju dihukum dengan cara kekerasan yang melampau.

"Sepatutnya, pusat tahfiz itu menjaga kebajikan terutama sekali anak-anak yatim dan bukannya menganiaya mereka," katanya.

Berikutan kejadian tersebut, Fouziah telah membuat laporan di Balai Polis Daerah Johor Bahru Selatan semalam sebelum membawa ketiga-tiga anaknya menjalani pemeriksaan di HSA.

Katanya, laporan berkenaan dibuat bukan kerana hendak mencari kesalahan sesiapa, sebaliknya tidak mahu perkara sama berlaku kepada pelajar lain yang tinggal di asrama pusat tahfiz berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Bahagian Johor Bahru, Faridah Mustafa yang turut melawat mangsa berkata, pihaknya akan menyiasat kes tersebut terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan susulan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment