Saturday, June 18, 2011

Repot Kat PPTM

Kereta rosak selepas dibaiki

ADEGAN menolak sendiri kereta yang mengalami kerosakan secara tiba-tiba pada waktu malam di jalan raya sememangnya sesuatu yang tidak diingini oleh sesiapa pun.

Apatah lagi sekiranya kejadian itu berlaku di kawasan yang jauh dari bandar atau di lebuh raya, mahu pun di tempat yang tidak mempunyai bengkel kereta.

Walaupun ada khidmat penarik kereta yang sedia membantu tetapi pengalaman pahit seperti itu pasti akan mengundang api kemarahan seseorang pemandu.

Demikianlah yang berlaku kepada seorang lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Wan Abu, 44, apabila dia sekeluarga terpaksa berhempas pulas menolak kereta dalam kegelapan malam.

Kejadian yang tidak dapat dilupakan itu berlaku ketika kereta lelaki tersebut tersadai di Temerloh, Pahang sewaktu dalam perjalanan ke Kuantan dari Kuala Lumpur.

Apa yang mengecewakan ialah dia baru sahaja menghabiskan wang RM320 untuk menggantikan pengulang-alik (alternator) keretanya di bengkel kereta yang diusahakan oleh Chong Teck Chiang pada pagi hari sama.

Akibat kerosakan itu, dia bersama isteri dan anak-anaknya terpaksa bermalam di sebuah hotel bajet sebelum menunggu keesokan harinya untuk menghantar keretanya ke bengkel lain.

Keesokannya, dia sekali lagi terpaksa menukar pengulang-alik tersebut dengan yang baharu berharga RM320 untuk meneruskan perjalanannya.

Dalam hati Wan Abu, dia merasa cukup marah dan rasa tertipu dengan bengkel kereta pertama yang telah diupah menggantikan pengulang-alik keretanya.

Sudahlah terpaksa berpenat lelah menolak kereta di malam hari, dia juga perlu membelanjakan sekali ganda lagi wangnya untuk menukar alat ganti yang sama.

Setibanya di ibu negara, Wan Abu tanpa berlengah lagi terus memfailkan tuntutan terhadap Teck Chiang di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) yang terletak di Tingkat 16, Putra Place, Jalan Putra, Kuala Lumpur.

Dia mahu haknya sebagai pengguna diberi keadilan dan tidak sewenang-wenangnya dipermainkan oleh pemilik bengkel kereta yang hanya mahu mengaut keuntungan.

Ketika prosiding tuntutan tersebut baru-baru ini, Teck Chiang menyatakan dia telah cuba menggantikan pengulang-alik yang baharu kepada Wan Abu, namun lelaki itu enggan bekerjasama dan hanya memohon wangnya dikembalikan.

Selepas mendengar keterangan kedua-dua pihak, Presiden TTPM, Reihana Abd. Razak bagaimanapun mengarahkan Teck Chiang menggantikan pengulang-alik yang baharu kepada Wan Abu.

Reihana juga mengarahkan lelaki tersebut memulangkan semula pengulang-alik yang lama kepada pemilik bengkel kereta berkenaan.

Perintah itu berkuat kuasa dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan itu dikeluarkan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment