Saturday, June 23, 2012

berlakikan perompak

ARKIB : 22/06/2012

Rahsia pengantin baru terbongkar

Shafien Mamat (kanan) menunjukkan sebahagian barang hasil daripada kegiatan pecah rumah oleh suspek dan rakannya yang ditangkap pada sidang akhbar di Nibong Tebal, Pulau Pinang, semalam.
NIBONG TEBAL 21 Jun - Seorang lelaki yang baru dua minggu berkahwin, mengaku kepada polis yang dia menggunakan wang RM10,000 hasil jenayah pecah rumah yang dilakukannya untuk berkahwin.
Rahsia pengantin lelaki berusia 26 tahun itu terbongkar selepas dia ditahan sepasukan polis di rumahnya di Sungai Duri di sini pada pukul 5 pagi Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supritendan Shafien Mamat berkata, susulan penahanan lelaki itu, polis menahan rakannya berusia 23 tahun di Sungai Kasa pada pukul 11 malam hari yang sama.
"Modus operasi mereka adalah meronda dengan motosikal pada waktu siang dan akan melakukan pecah rumah pada waktu malam. Sasaran kumpulan ini adalah rumah kampung dan rumah tiada berpenghuni.
"Ketika disoal siasat, suspek berusia 26 tahun itu mengaku menggunakan wang yang dikumpul hasil pecah rumah sebanyak RM10,000 untuk melangsungkan perkahwinannya dua minggu lalu.
"Mereka menggunakan sebatang dawai besi untuk membuka pintu rumah dan membuka cermin tingkap rumah bagi melakukan jenayah tersebut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) hari ini.
Shafien berkata, polis menemui semula barangan yang dicuri di rumah mangsa seperti dua buah televisyen LCD, empat komputer riba, tiga unit kamera digital, dua kamera video, 35 keping surat pajak gadai, enam bentuk cincin, seutas rantai tangan, dua telefon bimbit, tiga rantai leher dan satu jam tangan kesemuanya bernilai RM70,000.
Menurut beliau, polis percaya dengan tertangkapnya kumpulan itu yang bergerak aktif sejak Januari lalu, sebanyak 38 kes pecah rumah yang berlaku di sekitar Nibong Tebal, Parit Buntar, Perak dan Bandar Baharu, Kedah berjaya diselesaikan.
Katanya, kedua-dua lelaki itu positif dadah jenis syabu dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan curi.
Beliau berkata, kedua-duanya direman hingga hari ini bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.
Beliau meminta orang ramai yang menjadi mangsa kumpulan itu supaya datang ke balai polis di sini untuk membuat pengecaman terhadap barang-barang milik mereka.

No comments:

Post a Comment