Saturday, June 23, 2012

stor ubat terbongkar

ARKIB : 22/06/2012

Stor rahsia terbongkar

Seorang anggota Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan memeriksa ubat-ubatan dalam stor rahsia di sebuah kedai ubat, Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 21 Jun - Taktik sebuah kedai ubat di Jalan Raja Alang di sini menyimpan ubat-ubatan tidak berdaftar serta beracun dalam sebuah stor rahsia bawah tanah berjaya dibongkar oleh Kementerian Kesihatan dalam satu serbuan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi malam tadi.
Dalam serbuan pukul 8 malam itu, pelbagai jenis produk kesihatan yang kebanyakannya ubat antibiotik dan antikulat dianggarkan bernilai RM200,000 dirampas dalam stor itu.
Operasi malam tadi turut memeriksa sebanyak 14 premis perniagaan dan tiga stor di sekitar Chow Kit hasil aduan dan maklumat daripada orang ramai mengenai penjualan ubat- ubatan yang status keselamatannya meragukan di kawasan itu.
Ketua Penolong Pengarah Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Kuala Lumpur, Norita Noraini berkata, dalam operasi ini, selain merampas produk kesihatan yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan pihaknya turut merampas produk mengandungi racun berjadual.
"Namun apa yang menyedihkan, kawasan ini bukan tempat baru bagi serbuan seperti ini kerana sudah beberapa kali ia dilakukan, bagaimanapun penemuan stor bawah tanah itu adalah sesuatu yang mengejutkan," katanya ketika ditemui selepas mengetuai operasi itu malam tadi.
Operasi disertai seramai 70 kakitangan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi daripada beberapa buah negeri.
Menurut Norita, kebanyakan premis-premis tersebut dipercayai dimiliki oleh warga Indonesia malah ubat-ubatan tersebut juga dibawa dari negara tersebut.
Katanya, bagi ubatan yang tidak berdaftar, ia akan disiasat mengikut peraturan kawalan ubat dan bahan kosmetik 1984 yang memperuntukan denda RM25,000 atau penjara tiga tahun bagi orang perseorangan manakala bagi syarikat denda RM50,000 akan dikenakan.
"Untuk produk kesihatan yang mengandungi racun berjadual pula, ia akan disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952 yang memperuntukan denda RM25,000 dan atau penjara tiga tahun bagi orang perseorangan, manakala bagi syarikat denda RM50,000," katanya.
Menurut Norita, semua produk kesihatan yang dipercayai mempunyai racun akan dihantar ke makmal untuk ujian bagi menentukan kandungannya sama ada mengandungi bahan itu atau sebaliknya.

No comments:

Post a Comment