Wednesday, June 6, 2012

peguam saman peguam

Sri Wani saman peguam suami RM10 juta

Sri Wani Choo Abdullah menfailkan saman fitnah RM10 juta terhadap Muhammad Hafiz Abdul Rasid yang mewakili suaminya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 4 Jun - Pengusaha pusat kecantikan, Sri Wani Choo Abdullah hari ini memfailkan saman fitnah berjumlah RM10 juta terhadap peguam syarie, Muhammad Hafiz Abdul Rasid yang mewakili suaminya dalam kes pengesahan nikah dan faraq (menjarakkan perkahwinan).
Sri Wani, 37, yang berbaju kurung ungu hadir ditemani peguam, Ahmad Izuddin Fakhrullah, memfailkan saman tersebut kira-kira pukul 1.53 petang melalui firma guaman Tetuan Boestaman Ahmad & Co. di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini.
Kes pengesahan nikah dan faraq tersebut masih berlangsung di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.
Dalam prosiding di mahkamah berkenaan sebelum ini, Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan menetapkan 19 Jun ini untuk keputusan sama ada isteri ketiga kepada bekas Dekan Penyelidikan & Inovasi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Bahrom Sanugi, 61, perlu menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi memastikan jantina sebenar wanita itu.
Sri Wani selaku plaintif menamakan Muhammad Hafiz dan firma guaman peguam terbabit, Tetuan Irsamuddin Hafiz & Associates sebagai defendan pertama dan kedua.
Plaintif dalam pernyataan tuntutannya mendakwa, Muhammad Hafiz telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah kepada media pada 5 April lalu dan disiarkan hampir kesemua akhbar termasuk laman sesawang dan YouTube.
Tindakan defendan pertama itu mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah tanpa menghubunginya terlebih dahulu didakwa telah memalukannya.
Ekoran penerbitan kenyataan berbaur fitnah itu, plaintif mendakwa reputasinya sebagai pengusaha pusat kecantikan dan individu tercemar serta dipandang hina.
Sri Wani turut mendakwa selalu diekori oleh orang yang tidak dikenali dari tempat kerja hingga ke kediamannya menyebabkan beliau takut untuk keluar bersendirian.
Plaintif turut mendakwa telah mengalami kerugian melebihi RM500,000 apabila stokis dan pengedar produk kecantikan beliau enggan mengambil produknya.
Oleh itu, Sri Wani menuntut ganti rugi teruk berjumlah RM10 juta terhadap kedua-dua defendan dan ganti rugi teladan yang tidak dinyatakan jumlahnya.
Plaintif antara lain memohon satu perintah injunksi bagi menghalang kedua-dua defendan daripada terus menerbitkan artikel, video atau ayat-ayat berbaur fitnah terhadapnya, faedah sebanyak lapan peratus serta kos.

No comments:

Post a Comment