Tuesday, June 26, 2012

sesat semasa jogging/treking

3 lelaki sesat di hutan Ampang Jaya ditemui

25 Jun 2012

KUALA LUMPUR - Tiga lelaki yang sesat di hutan bukit Taman Tun Abdul Razak, Ampang Jaya, bernasib baik kerana kewujudan liputan talian telefon bimbit membantu pasukan mencari menyelamatkan mereka hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supt Nazri Nawawi berkata ketiga-tiga mereka ditemui di puncak bukit di hutan berkenaan pada 10.55 pagi dalam keletihan.

Saiful Bahari Mohamad, 29; Mohd Alif Hakim Abdul Wahab, 27; dan Mohd Nazrim Shah Nasarudin, 16; dilaporkan sesat pada 10 malam tadi.

“Mereka ditemui dalam keletihan serta kelaparan dan kehausan pada 10.55 pagi ini.

Kesemua mereka stabil dan tidak mengalami kecederaan," kata Supt Nazri kepada pemberita di pusat operasi sementara di Taman Tun Abdul Razak.

Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan.

Bercakap kepada pemberita, Mohd Alif Hakim, seorang kontraktor, berkata mereka bertiga masuk ke hutan untuk aktiviti 'treking’ bagi tujuan riadah pada 9.30 pagi semalam.

"Setiap minggu saya dan rakan-rakan akan ke kawasan itu untuk treking dengan mengikut laluan denai yang dikenali sebagai ‘Jalan Permatang’ untuk masuk ke hutan.

“Tetapi kali ini, kami cuba menggunakan laluan baru sehingga akhirnya tersedar kami telah sesat,” katanya.

Mohd Alif berkata mereka cuba mencari jalan keluar dengan mengikut aliran sebuah sungai tetapi gagal dan akhirnya terpaksa bermalam di tepi sungai.

"Kami meneruskan mencari jalan keluar pagi ini dan apabila sampai di puncak bukit, saya terkejut menerima panggilan daripada pihak Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) yang berusaha mengesan lokasi kami," katanya.

Mohd Alif bersyukur kerana telefon bimbitnya mendapat semula liputan apabila berada di puncak bukit.

Beliau berkata aktiviti treking mingguannya itu akan diteruskan tetapi dengan lebih berhati-hati.

Dalam pada itu, Supt Nazri menasihati penggemar aktiviti treking supaya memaklumkan balai polis berdekatan sebelum masuk ke hutan bagi membolehkan tindakan segera diambil jika berlaku sebarang kejadian di luar jangkaan.

Selain JPAM, pasukan mencari itu disertai anggota polis dan bomba. - Bernama

No comments:

Post a Comment