Tuesday, June 19, 2012

tedung selar di ruangan injin

ARKIB : 18/06/2012

Mekanik jumpa ular tedung selar di ruang enjin kereta

Anggota JPAM Daerah Hulu Langat menunjukkan ular tedung selar sepanjang empat meter yang ditangkap ketika bersembunyi dalam ruang enjin kereta di sebuah bengkel di Beranang, Hulu Langat, Selangor, kelmarin.
HULU LANGAT 17 Jun - Seorang mekanik terkejut apabila melihat seekor ular tedung selar sepanjang 4 meter sedang menyusur masuk ke ruang enjin kereta di sebuah bengkel di Jalan Sesapan Kelubi, Beranang di sini petang semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 petang ketika mekanik yang dikenali sebagai Johari, berusia lingkungan 40-an sedang membaiki sebuah kenderaan lain di bengkel kereta miliknya itu.
Menurut Anggota Sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) daerah, Noor Fauziah Yaakob, seramai empat anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kira-kira pukul 5.40 petang.
"Usaha untuk mengeluarkan ular tedung selar itu mengambil masa selama 25 minit kerana ular tersebut telah memasuki bahagian ruang enjin kereta itu.
"Ular jenis itu merupakan antara spesies ular berbisa. Patukan ular tersebut boleh mengundang maut sekiranya tidak menerima rawatan segera dalam tempoh empat minit," katanya ketika ditemui pemberita di pejabat JPAM Hulu Langat hari ini.
Tambahnya, ular tersebut juga mampu memanggung kepala sehingga 30 sentimeter apabila hendak mematuk mangsanya.
Katanya, ular yang berjaya ditangkap itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.
Ini adalah kali kedua ular bersaiz besar ditemui dalam tempoh seminggu. Pada malam Jumaat lepas, seekor sawa sepanjang 4.6 meter dan seberat 25 kilogram ditangkap oleh JPAM Daerah Sentul di kawasan perumahan Kunci Air, Kampung Simpang 3 di Gombak, Kuala Lumpur setelah menerima laporan daripada seorang penduduk.

No comments:

Post a Comment