Thursday, February 9, 2012

curi nama

Tanggung bil RM4,000
HABSAH ISMAIL
9 Februari 2012

KOTA BHARU- Seorang suri rumah terkejut dan kesal apabila menerima panggilan telefon supaya dia menyelesaikan hutang bil telefon hampir RM4,000, sedangkan talian berkenaan tidak pernah digunakannya.

Suri rumah berkenaan, Zainah Ismail, 34 berkata, lebih membebankan fikirannya, syarikat berkenaan memberitahu jika enggan menjelaskan hutang itu, dia perlu hadir ke mahkamah untuk perbicaraan.

Dua hari kemudian, dia diminta hadir ke syarikat telekomunikasi tersebut untuk melihat tunggakan hutang berkenaan.

“Setelah menyatakan saya tidak pernah mendaftar dan menggunakan dua talian yang didakwa digunakan oleh saya, pihak syarikat berkenaan meminta supaya laporan polis dibuat.

“Bagi menafikan hal berkenaan, saya juga sudah membuat surat sumpah di pejabat peguam,” dakwanya semasa ditemui di kediamannya di Kedai Melor, di sini.

Zainah yang berasal dari Johor berkata, setelah ke syarikat tersebut, pihaknya mengenakan bil talian tetap (pasca bayar) sebanyak RM3,391.90 ke atas nombor talian pertama dan pada talian nombor kedua sebanyak RM482 yang didakwa digunakan sejak 2001.

Menurutnya, dia langsung tidak mengetahui mengenai talian telefon menggunakan bil dan hanya tahu menggunakan prepaid tambah nilai (prabayar) sahaja.

“Saya percaya nama atau kad pengenalan saya sudah disalahgunakan oleh pihak tertentu dan saya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Kota Bharu hari ini (semalam),” katanya.

Katanya, dia kini membersihkan namanya dan berharap pihak syarikat telekomunikasi membuat semakan yang lebih teliti bagi mengelak nama yang tidak berkenaan terjebak dalam masalah terbabit.

“Masalah ini memang merunsingkan saya dan saya harap orang ramai berhati-hati terutama dalam penggunaan kad pengenalan. Setahu saya, saya tidak pernah memberikan kad pengenalan kepada sesiapa,” katanya.

No comments:

Post a Comment