Mekanik cekik darah
6 Februari 2012
Orang ramai beranggapan penipuan oleh pengusaha bengkel kenderaan yang mengaut untung ‘atas angin’ itu tidak pernah serik menipu mereka yang terpaksa membayar sejumlah wang yang banyak sedangkan kualiti perkhidmatan berada pada tahap rendah.
Rata-rata pemilik kenderaan mengakui mereka sering tertipu, antaranya disebabkan keengganan sesetengah pengusaha menyenaraikan tanda harga bagi caj servis dan alat-alat ganti.
Selain itu, antara penipuan lain yang dilakukan ialah meminta pemilik kenderaan menukar alat tertentu sedangkan komponen dalam kenderaan itu masih boleh digunakan serta tidak perlu diganti.
Malah, ada juga pelanggan terpaksa berhabis duit ribuan ringgit semata-mata membaiki kenderaan mereka, namun setelah seminggu digunakan kenderaan mereka kembali ‘meragam’.
Pengusaha bengkel kenakan caj tidak masuk akal
Seorang pengguna yang hanya dikenali sebagai Kuang Beng (bukan nama sebenar) berkata, dia dikenakan caj RM7,000 oleh sebuah pengusaha bengkel di Seremban, selepas enjin sebuah van miliknya tidak boleh dihidupkan ketika dalam perjalanan dari Rompin ke Kuala Lumpur.
Kuang Beng berkata, kejadian yang berlaku pada April tahun lalu itu menyentap jiwanya kerana terpaksa membayar sejumlah wang yang banyak sedangkan sebelum ini pemilik bengkel menyatakan dia hanya perlu membayar RM600.
Menurutnya, vannya yang berusia lebih lima tahun itu mengalami kerosakan pada penapis udara hingga menyebabkan ‘radiator’ atau tangki air vannya itu mengalami suhu tinggi.
“Ketika saya sedang memandu, saya melihat ada kepulan asap pada bahagian berhampiran penghawa dingin dan ambil keputusan memberhentikan kenderaan di bahu jalan.
“Namun, setelah asap itu mulai hilang, saya cuba menghidupkan ejen, namun ia tidak berjaya hingga tiba-tiba saya didatangi oleh seseorang yang menawarkan perkhidmatan membaiki kenderaan,” katanya.
Kuang Beng berkata, sebaik saja sampai di bengkel itu, dia diberitahu bahawa kenderaannya itu tidak boleh disiapkan kerana mengalami kerosakan yang teruk.
“Pemilik bengkel memberitahu saya terdapat kerosakan pada bahagian tertentu yang perlu diperbaiki dan mengambil masa selama beberapa hari untuk disiapkan memandangkan ada komponen mengalami kerosakan yang serius,” katanya.
Menurutnya, pada mulanya, pemilik bengkel menyatakan dia hanya memerlukan RM600 bagi membaiki kerosakan tersebut, namun terkejut apabila jumlah yang terpaksa dibayarnya meningkat tanpa diduga.
“Pemilik bengkel menghubungi saya menyatakan van saya sudah siap dan boleh diambil di bengkel, namun saya diminta untuk menjelaskan bayaran sebanyak RM5,000 kerana terdapat banyak alat komponen yang terpaksa diganti semula.
“Saya mula berasa tidak sedap hati kerana sebelum ini van itu saya jaga dengan baik malah ia selalu dihantar ke bengkel untuk diservis, tetapi mengapa saya pula yang terpaksa membayar jumlah wang sebanyak itu?,” katanya.
Menurutnya, dia yang berasa tidak puas hati dengan caj yang dikenakan terus ke bengkel itu, namun alangkah terkejutnya apabila jumlah yang terpaksa dibayar olehnya meningkat kepada RM7,000.
“Mahu tak mahu saya perlu jelaskan hutang ini bagi mengambil semula van saya, tetapi alangkah terkilannya apabila wang itu hangus dalam sekelip mata,” katanya.
Tertipu caj dikenakan mahal berbanding kebiasaan
Menurut Wahab (bukan nama sebenar) dia pernah menghantar servis kereta di salah sebuah bengkel di Kuantan dan terkejut apabila mendapati caj yang dikenakan oleh ‘mekanik tamak’ itu tidak masuk akal.
Wahab berkata. caj yang dikenakan ke atasnya adalah dianggap tidak munasabah kerana harga bagi sebuah bateri sel kering di pasaran bagi sebuah kereta wira hanya sekitar RM180 hingga RM250.
Namun, katanya, dia terkejut apabila terpaksa membayar alat ganti bateri termasuk kos pemasangannya mencecah RM350.
“Saya bertanya pemilik kenapa harga bateri di bengkelnya terlalu mahal?, mekanik itu hanya memberitahu saya bahawa bateri itu mempunyai kualiti dan jangka waktu jaminan yang panjang.
“Namun setelah diteliti, jaminan yang diberi hanya setahun sahaja, sama dengan bateri-bateri kereta yang pernah saya beli sebelum ini,” katanya.
Dia turut meluahkan rasa kesal kerana pada masa itu juga, dia langsung tidak diberitahu pemilik bengkel bahawa caj perkhidmatan RM30 akan dikenakan tidak termasuk harga bateri.
“Pemilik bengkel seperti ini amat kejam dan hanya menyusahkan saya kerana tidak memberitahu kos sebenar, sebaliknya pandai putar belit untuk kaut untung lebih,” katanya.
Menurutnya, sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pengusaha bengkel menyebabkan pengguna yang tidak mengenali pengusaha terbabit terdedah kepada penipuan harga sehingga ke tahap dua kali ganda daripada harga sebenar.
“Tanda harga tidak dipamerkan menyebabkan kadar harga di antara sebuah kedai dengan kedai yang lain tidak setara.
“Harga biasanya ditentukan dengan rundingan antara pengguna dengan pengusaha mengikut sedap mulut sahaja, tapi selepas semua siap harga mungkin berubah” katanya.
Guna alat ganti palsu
Pemilik kenderaan lain, Lee, (bukan nama sebenar) berkata, penipuan pengusaha turut membabitkan pemasangan alat ganti tiruan pada kenderaan tanpa disedari oleh pengguna.
Menurutnya, terdapat peniaga yang sanggup ‘cekik darah’ semata-mata mahu mengaut keuntungan berlebihan hingga menyebabkan pengguna pula berada dalam situasi tertekan.
“Harga alat ganti juga berubah-ubah mengikut kedai dan ada bengkel menawarkan harga jauh lebih mahal sedangkan jenama dan kualiti alat ganti adalah sama,” katanya.
Menurutnya, dia juga pernah tertipu apabila terpaksa membayar caj servis kereta sebanyak RM500 sedangkan tiada alat ganti yang baru ke atas kenderaannya.
“Hendak kata tidak pernah tertipu itu mustahil, kerana saya pernah tertipu oleh mereka yang mahu kaut keuntungan dengan jalan atau taktik kotor seperti ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment