Ular sawa melingkar atas tiang lampu
1 Februari 2012
Kemunculan ular secara tiba-tiba, menyebabkan orang ramai memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Unit Rantau Panjang untuk menangkapnya bagi mengelak bahaya kepada orang awam yang lalu di situ khususnya kepada penunggang motosikal.
Ketua Operasi JPAM, Lans Koperal Aznidal Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 5.40 pagi, bagaimanapun tidak dapat menangkap ular tersebut kerana kedudukannya agak tinggi.
“Selain berada pada kedudukan yang agak tinggi, hujan lebat turut menyukarkan kerja menangkap ular tersebut.
“Kita terpaksa meminta bantuan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menangkap ular yang berada pada ketinggian 900 sentimeter itu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Aznidal berkata, dengan bantuan Tower Weegan TNB, beliau bersama tiga anggota serta dua anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Pasir Mas yang diketuai Fauzi Rashid berjaya menangkap ular tersebut.
Menurutnya, reptilia berkenaan berjaya ditangkap dalam masa 20 minit dan diserahkan kepada Perhilitan.
Sementara itu, penduduk, Tuan Yam Tuan Mat, 58, yang tinggal berhampiran tiang lampu berkenaan berkata, dia dimaklumkan mengenai ular di situ ketika azan Subuh pagi semalam.
Menurutnya, dia agak bimbang dengan kehadiran haiwan tersebut kerana jarak rumahnya dengan tiang lampu berkenaan agak dekat.
“Sesekali saya mendongak untuk melihat ular berkenaan sementara menunggu JPAM sampai,” katanya.
No comments:
Post a Comment