Thursday, February 16, 2012

diserang gajah

Tanaman rosak diserang gajah
Wartawan Sinar Harian
16 Februari 2012
Penduduk-tunjuk-tanaman-pisang-mereka-musnah-diserang-gajah-liar
GUA MUSANG - Penduduk di Kampung Serian, dekat sini, kerugian teruk apabila tanaman­ pisang dan getah di kawasan seluas lapan hektar musnah diserang sekumpulan­ sembilan ekor gajah liar, awal pagi kelmarin.

Kemusnahan kebun itu adalah yang ketiga selepas sekumpulan gajah berkenaan berkeliaran di sekitar kampung terbabit sejak empat tahun lalu hingga penduduk pendapatan penduduk berkenaan terjejas teruk.

Berikutan kejadian terbaru itu juga kebanyakan penduduk takut untuk keluar menoreh getah kerana bimbang berdepan dengan haiwan ganas itu yang dipercayai masih bersembunyi dalam kawasan kebun getah mereka

Penduduk, Husin Senik, 63, berkata beliau yang mengalami kerugian paling teruk apabila kawasan kebun pisang dan getah diusahakan setahun lepas membabitkan keluasan 2.4 hektar musnah diserang gajah berkenaan.

Beliau berkata, sebanyak 300 daripada 700 pohon pisang yang ditanam itu sepatutnya dipungut hasil kelmarin, tetapi tidak sempat berbuat demikian kerana diserang gajah lebih awal daripada itu.

”Saya sedar mengetahui kejadian ini sekitar jam 7 pagi apabila menerima telefon daripada seorang rakan. Ketika itu, saya sedang bersiap untuk ke kebun bagi menebang pisang yang sudah tua sebelum menjualnya kepada seorang pembeli dari Kota Bharu.

”Selepas itu, saya bergegas ke kebun untuk melihatnya dan sedih dengan keadaan pokok pisang yang sedang mengeluarkan hasil musnah diserang gajah liar,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Rofi Ismail, 46, berkata, kampung itu kerap menjadi tempat sekumpulan gajah berkeliaran sejak beberapa tahun lalu dan menanggung kerugian kerap kali apabila tanaman musnah.

Beliau berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan pada Oktober tahun lepas sudah menangkap dan memindah seekor gajah dari kumpulan itu bagi mengelakkan kejadian seumpama ini.

”Bagaimanapun, masalah itu tidak dapat diatasi apabila masih terdapat sembilan ekor lagi yang berada dalam kebun penduduk dan membimbangkan jika tidak ada tindakan untuk memindahnya.

”Kami juga menyedari beberapa anggota Jabatan Perhilitan dari Gua Musang sedang berada dalam kawasan kebun penduduk itu untuk memburu sekumpulan gajah tersebut,” katanya.

No comments:

Post a Comment