ANITA (tiga dari kanan) bersama anaknya di rumah mereka di Sangli, Maharashtra.
TIGA gadis malang (dari kiri) Monisha, Savitri dan Savita berharap mereka masih ada harapan untuk hidup bahagia.
Berdepan masalah penumbuhan bulu tidak terkawal, Savita, 23; Monisha, 18; dan Savitri, 16, mungkin menjadi anak dara tua gara-gara Hypertrichosis Universalis.
Mengikut nisbah, penyakit itu hanya dialami seorang daripada satu bilion penduduk dunia.
Menurut Savita, dalam keadaan begitu, perkahwinan adalah mustahil untuk mereka.
“Siapa yang mahu menjadi suami kepada seseorang yang mukanya dipenuhi bulu?” katanya.
Di kawasan perkampungan kecil di Sangli, wanita bujang tidak mempunyai banyak pilihan.
Hidup dalam serba miskin, keluarga terbabit ternyata tidak mampu menyediakan wang berjumlah RM21,500 untuk setiap seorang daripada mereka bagi menjalani rawatan laser membuang bulu berkenaan.
Ketika ini, adik-beradik malang itu hanya menggunakan krim membuang bulu untuk mengurangkan sedikit masalah berkenaan.
“Dulu ketika bersekolah, pelajar di sana selalu mengejek saya dengan pelbagai gelaran dan enggan berkawan dengan kami,” katanya.
Ibu mereka, Anita Sambhaji Raut, 40, berkata dia mempunyai enam anak, tetapi hanya tiga mengalami sindrom berkenaan.
Kata Anita, penyakit itu menurun daripada suaminya yang dikahwini secara paksa ketika dia baru berusia 12 tahun.
“Saya hanya menyedari suami saya itu mempunyai muka dan badan berbulu pada hari kami dikahwinkan.
“Keadaan itu sangat menakutkan saya,” katanya.
Akibat penyakit itu, kata Anita, dia sentiasa berdepan dengan cercaan masyarakat setempat.
“Apabila saya membawa Savita keluar, orang kampung akan memanggil kami binatang atau ahli sihir,” katanya.
Sementara itu, Monisha berkata, dia tetap berharap ada lelaki sudi menjadikannya sebagai isteri.
“Jika ada yang sesuai, saya akan terima, tetapi jika tidak, saya terpaksa terus berusaha menyambung hidup,” katanya. - TS
No comments:
Post a Comment