Wanita dakwa ditipu RM130,000
KUALA LUMPUR 24 Feb. - Seorang peniaga emas mendakwa kerugian RM130,000 setelah terpedaya tipu helah seorang lelaki melalui skim pelaburan kelapa sawit yang menjanjikan pulangan dividen sebanyak 10 peratus untuk setiap bulan.
Mangsa, Paridah Darus, 49, berkata, dia mengenali lelaki berkenaan melalui seorang kenalan dan tertarik dengan skim pelaburan yang ditawarkan.
Katanya, setelah membuat pelaburan pertama, dia menambah pelaburannya sebanyak empat kali dengan jumlah keseluruhan RM130,000.
"Saya membuat pelaburan pertama berjumlah RM40,000 dan setelah mendapat dividen pertama, saya dipujuk untuk menambah jumlah pelaburan.
"Saya hanya menerima dividen melalui pelaburan yang saya lakukan untuk tiga kali sahaja dan seterusnya, tidak lagi menerima sebarang dividen sehingga kini," katanya kepada pemberita di pejabat Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) di sini hari ini.
Paridah berkata, dia telah meminta lelaki berkenaan untuk mengeluarkan semula semua wang pelaburannya, namun sehingga kini wang tersebut tidak dikembalikan.
"Pelbagai alasan diberikan kepada saya seperti bapa meninggal dunia, dirompak ketika sedang berurusan di Singapura dan kereta dipecah pencuri sehingga kerugian RM20,000," jelasnya.
Beliau menambah, lelaki berkenaan juga dipercayai sedang dibicarakan atas kesalahan menjalankan perniagaan kontrak niaga tanpa lesen sah dari Suruhanjaya Sekuriti (SC) melalui syarikat lain sebelum ini.
Sementara itu, Pengerusi LPKPM, Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, satu laporan polis sudah dibuat oleh mangsa bulan lalu.
"Pihak kami akan cuba membantu mangsa dengan menyemak data syarikat serta maklumat pelaburan yang terdapat di dalam syarikat melalui Suruhanjaya Sekuriti (SC)," ujarnya.
Saharuddin turut menasihati orang ramai untuk tidak mempercayai mana-mana skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa yang singkat.
''Buatlah pelaburan di institusi yang lebih terjamin dan selamat seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA 1Malaysia)," katanya.
No comments:
Post a Comment