Padah salah naik komuter
22 Februari 2012
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Aisha (bukan nama sebenar) berkata, sebelum kejadian, dia serta rakannya Aida (bukan nama sebenar), 15, baru pulang dari sekolah dan merancang ke Jeram, Kuala Selangor untuk bertemu rakan sekolah lama mereka.
Setelah bertemu dengan rakan lama, dia dan Aida kemudiannya ke Stesen Komuter Klang untuk pulang ke Shah Alam, namun tersalah naik komuter yang menuju ke Pelabuhan Klang.
Aisha berkata, mereka hanya menyedari tersalah menaiki komuter setelah tiba di stesen Pelabuhan Klang. Menurut Aisha, mereka berpakat menunaikan solat Mahgrib di surau stesen tersebut terlebih dahulu sebelum berpatah balik ke Shah Alam.
“Kami berpecah. Saya ke tandas manakala Aida terus ke surau. Apabila keluar dari tandas, tiba-tiba mulut saya ditekup, sebelum ditarik ke belakang tandas oleh seorang lelaki berpakaian hitam, serta memakai topeng ski.
“Saya sangat terkejut tapi tak sempat buat apa-apa. Saya cuba untuk lepaskan diri tetapi lelaki itu sangat kuat dan tak mampu untuk melawan,” katanya.
Katanya, keadaan terlalu gelap dan dia diheret melalui jalan kecil yang sunyi menuju ke sebuah perumahan flat berdekatan.
“Lelaki itu mengurung saya dalam sebuah bilik kosong serta ikat kedua-dua tangan dan kaki sebelum menyeluk poket baju sekolah dan merampas telefon bimbit,” kata anak tunggal perempuan dari empat beradik itu.
Aisha berkata, lelaki terbabit seperti menaip sesuatu melalui telefon bimbitnya, sebelum mencampakkan telefon serta pisau atas almari lama di bilik berkenaan.
“Saya cuba untuk lepaskan diri dan berjaya buka ikatan tali di tangan serta kaki. Saya sangat panik dan bertindak mengambil telefon bimbit serta padamkan semua nombor yang disimpan, sebelum terdengar bunyi tapak kasut. Saya terus berlari sekuat hati, keluar dari situ dan menuju ke stesen komuter,” katanya.
Menurutnya, apabila sampai di stesen itu, dia nampak Aida mundar-mandir dalam keadaan bingung, lalu terus menarik tangan rakannya itu dan masuk ke komuter yang kebetulan baru tiba di stesen tersebut.
“Saya menangis sambil menceritakan apa yang berlaku kepada Aida. Pada masa sama, ketika komuter sudah bergerak untuk ke Shah Alam, saya seperti ternampak kelibat penculik itu berdiri di sebelah tandas stesen seolah-olah sedang mencari-cari saya.
“Tidak lama kemudian, ibu menghubungi telefon bimbit Aida untuk bertanyakan sama ada sudah menemui saya atau belum. Saya sangat lega sebab masih dapat bercakap dengan ibu kerana langsung tidak terfikir akan selamat,” katanya yang mengakui masih teringat-ingat serta bermimpi buruk ekoran kejadian tersebut.
Terkedu terima SMS ugut bunuh
22 Februari 2012
Dia berkata, SMS itu diterima selepas dia menamatkan perbualan telefon dengan rakan anaknya, Aida yang memberitahu Aisha hilang selepas ke tandas pada malam 10 Februari lalu.
Sebelum itu, Shamsiah berkata, dia menghubungi telefon bimbit anaknya, tetapi tidak berjawab menyebabkannya menelefon Aida untuk bertanyakan lokasi.
“Selepas dimaklumkan mereka tersalah naik komuter dan Aisha pula hilang, hati dan fikiran saya bercelaru. Saya minta Aida bertanyakan orang sekeliling.
“Belum sempat telefon suami, saya terima SMS yang dikirimkan dari telefon bimbit anak saya, ‘KALAU KAU NAK ANAK KAU SELAMAT, BAGI AKU 1 JUTA DULU’ pada jam 8.54 malam. Saya terus balas SMS itu dan tanya di mana anak saya, tapi pengirim itu tidak mengendahkan pertanyaan tersebut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
Shamsiah berkata, selang lima minit kemudian, pengirim itu memberi dua lagi SMS ugutan yang lebih menakutkan ‘KALAU TAK AKU BUNUH DIA SEKARANG!’ dan ‘AKU NAK 1 JUTA!’.
Menurutnya, dia terus menghubungi suaminya yang berada di Stesen Komuter Shah Alam dan suaminya memberitahu turut mendapat SMS ugutan sama. Mereka kemudiannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam membuat laporan polis.
“Saya tak tahu bagaimana hendak gambarkan perasaan ketika itu, namun sebagai seorang ibu, saya hanya mampu berdoa agar Aisha selamat dan tiada perkara buruk menimpanya.
“Ketika dalam perjalanan ke balai polis, saya hubungi Aida bertanya sama ada sudah menemui anak saya atau belum, tetapi dimaklumkan Aisha selamat dan mereka dalam perjalanan pulang ke Shah Alam,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop ketika dihubungi semalam, mengesahkan menerima laporan terbabit dan siasatan sedang dijalankan.
No comments:
Post a Comment