Wednesday, August 17, 2011

dirempuh babi

Maut dirempuh babi hutan

Oleh M. RIZAL NOR
utusanpahang@utusan.com.my

JERANTUT 16 Ogos - Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini pasti tidak meriah seperti sebelumnya buat seorang peneroka apabila isterinya maut setelah motosikal yang mereka naiki dirempuh seekor babi hutan di Felda Kota Gelanggi 3, dekat sini semalam.

Dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, mangsa, Rohani Sulaiman, 46, meninggal dunia setelah tercampak dari motosikal manakala suaminya, Harun Mat Ali, 60, cedera parah dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Temerloh.

Anak mangsa, Hazman Harun, 38, ketika ditemui semalam berkata, ketika kejadian, bapanya dalam perjalanan ke kebun bersama isterinya itu dengan motosikal sebelum dirempuh haiwan tersebut.

"Baru beberapa hari lalu, saya menghubungi mereka untuk bertanya khabar dan emak sempat beritahu kalau balik sini (Felda Kota Gelanggi 3) jangan terkejut.

"Saya pula tidak mengesyaki apa-apa, namun tidak sangka ia petanda dia akan tinggalkan kami," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Hazman yang bekerja sebagai mekanik di Bandar Sunway, Kuala Lumpur memberitahu, pasangan tersebut merancang menunaikan haji bersama, namun takdir menentukan hasrat itu tidak kesampaian.

"Kami sangat terkejut dan sedih kerana ayah kini terlantar di hospital, emak pula pergi meninggalkan kami sedangkan 1 Syawal akan menjelang tidak lama lagi," katanya.

Jenazah Rohani selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan, pukul 9.30 malam semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Zakaria Kassim ketika dihubungi hari ini mengesahkan menerima laporan.

No comments:

Post a Comment