Wednesday, August 3, 2011

tertembak adik

Remaja mengaku salah tertembak adik perempuan

MARAN 2 Ogos - Seorang remaja Orang Asli mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh adik kandungnya tanpa niat dan memiliki dua laras senapang buatan sendiri pada hujung bulan lalu.

Bagi tuduhan pertama, remaja berusia 15 tahun itu mengaku tertembak adik perempuannya yang berusia 10 tahun apabila senjata api yang sedang dibersihkan selepas berburu babi tiba-tiba meletup sendiri.

Kejadian didakwa berlaku di rumah tidak bernombor di Kampung Bagas, Kuala Sentul, di sini antara pukul 7 petang dan 8.15 malam pada 26 Julai lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norazlin Mohamad Yusoff mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, remaja itu didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata kerana memiliki dua laras senapang buatan sendiri pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Di bawah seksyen tersebut, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum setahun, denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali menetapkan 6 September ini untuk menjatuhkan hukuman sementara menunggu laporan akhlak tertuduh.

Remaja itu turut dibenarkan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan tersebut.

No comments:

Post a Comment