Tuesday, August 16, 2011

perompak dapat rm 33 sahaja

Perompak dapat RM33 hasil gerudi pajak gadai

SHAH ALAM 15 Ogos - Sekumpulan perompak terpaksa berputih mata apabila hanya berjaya melarikan wang tunai RM33 selepas 'bertungkus lumus' menggerudi dinding sebuah premis pajak gadai di Seksyen 23 di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 3 pagi, kumpulan perompak itu terlebih dahulu memecah masuk sebuah klinik yang terletak bersebelahan kedai pajak gadai berkenaan bagi membolehkan mereka menggerudi dinding untuk masuk ke premis itu.

Bagaimanapun, ketika asyik menggerudi dinding untuk masuk ke kedai pajak gadai tersebut, mereka terkejut dan lari lintang pukang apabila alat penggera premis itu tiba-tiba berbunyi.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, suspek memecah masuk klinik dengan menebuk lubang di bahagian tangga bangunan.

Beliau berkata, selepas berjaya masuk, kesemua suspek mendapati mereka berada di dalam ruang pejabat dan tempat menyimpan ubat-ubatan di klinik itu yang telah menamatkan operasinya.

"Mereka keluar dari ruang tersebut dan pergi ke tempat pesakit menunggu dan menggerudi satu lubang berdiameter 0.3 meter setinggi 1.83 meter dari paras lantai premis.

"Semasa menggerudi sebuah lagi lubang berukuran sama, alat penggera tiba -tiba berbunyi menyebabkan mereka terkejut lalu lari mengikut lubang dinding di tempat simpanan ubat dan mereka sempat mengambil wang tunai RM33 di klinik itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Zahedi menambah, pihaknya tidak menolak kemungkinan perompak itu menggunakan sejenis peralatan hidraulik untuk menebuk lubang. Bagaimanapun, ia masih dalam siasatan memandangkan kedua-dua premis tersebut tidak mempunyai kamera litar tertutup.

"Kita sedang mengesan suspek yang terlibat dalam kes berkenaan. Buat masa ini, kes ini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

No comments:

Post a Comment