Tuesday, August 9, 2011

mata kena mercun


Nyaris buta terkena mercun bola

Fakhrul Danish Fadzil cedera di muka akibat terkena mercun bola di Taman Teja, Changlun, menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, semalam.

ALOR SETAR 8 Ogos - Gerak hati seorang ibu yang tidak sedap hati untuk membenarkan anaknya keluar bermain pada petang Sabtu lalu rupa-rupanya menjadi petanda malang akan menimpa.

Selepas beberapa minit sahaja keluar ke taman berhampiran rumah mereka di Taman Teja, Changlun, kanak-kanak itu pulang dengan muka dan mata kemerahan selepas terkena mercun bola.

Mangsa, Fakhrul Danish Fadzil, 8, dikatakan duduk mencangkung sambil melihat sebutir mercun yang tidak meletup namun ia tiba-tiba meletup menyebabkan api percikan mercun itu terkena pada mukanya.

Ibu mangsa, Manisah Mohd., 41, berkata, dia tidak menyangka anaknya itu keluar bermain mercun bersama abang dan rakannya sebelum ditimpa kejadian itu.

"Dalam pukul 7 petang, Fakhrul memberitahu mahu ke taman untuk bermain tetapi saya kata duduk rumah sahaja kerana sudah nak masuk waktu berbuka namun dia mendesak juga.

"Beberapa minit selepas itu, dia pulang dengan muka dan mata kemerahan selain meraung mengatakan matanya pedih," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Manisah yang merupakan seorang guru berkata, dia cuba mendapatkan rawatan di sebuah klinik di Changlun namun disyorkan supaya ke hospital.

Di Hospital Jitra, katanya, doktor memberitahu supaya Fakhrul dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah kerana dia perlu mendapatkan rawatan doktor pakar mata.

Katanya, Fakhrul Danish, murid darjah dua di Sekolah Kebangsaan Datuk Wan Kemara, Changlun bernasib baik apabila doktor memberitahu kecederaan pada matanya tidak serius selain melecur pada bahagian muka.

"Hasil pemeriksaan doktor termasuk pada kornea mata, saya bersyukur kerana mata anak saya tidak cedera serius cuma kabur sahaja tetapi ia akan sembuh," kata Manisah lagi.

Dalam pada itu, Pengarah HSB, Datuk Dr. Juita Ghazalie berkata, kanak-kanak itu mungkin mengalami masalah kekurangan penglihatan pada kedua-dua belah mata akibat letupan mercun tersebut.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment