Sunday, September 4, 2011

ambulan kena siasat

Siasat kemalangan ambulans

Oleh OOI CHOON JOO
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 3 Sept. – Kementerian Kesihatan mewujudkan jawatankuasa khas bagi menyiasat dua kemalangan melibatkan ambulans yang dalam perjalanan menghantar pesakit ke hospital lain sehingga menyebabkan kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Hasan Abdul Rahman berkata, kementerian memandang serius dua kejadian itu dan tidak akan berkompromi dengan pemandu yang didapati melanggar peraturan.

Menurutnya, arahan telah dikeluarkan kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan supaya satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat insiden kemalangan di Tampin semalam manakala pasukan sama telah ditubuhkan untuk menyiasat kejadian di Ayer Keroh, Melaka, 16 Ogos lalu.

“Pemandu ambulans yang terlibat bakal berhadapan dengan tindakan sekiranya hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku disebabkan kecuaian mereka,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau diminta mengulas insiden kemalangan melibatkan sebuah ambulans di Tampin kelmarin sehingga mengorbankan seorang ibu yang menemani anaknya dan kemalangan di Ayer Keroh, Melaka pada 16 Ogos lalu menyebabkan seorang pesakit dan jururawat pengiring terkorban.

Hasan berkata, siasatan mengenai kemalangan ambulans di Ayer Keroh dijangka siap dalam tempoh dua minggu lagi.

Ketika ditanya sama ada kementerian akan mengkaji semula had laju ambulans, beliau berkata, semua ambulans perlu mematuhi had kelajuan jalan raya yang ditetapkan seperti kenderaan awam yang lain.

“Tiada pengecualian had laju kepada ambulans dan pemandu perlu mematuhinya seperti kenderaan lain.

“Apabila ambulans membunyikan siren, ia hanya diberikan laluan dan bukannya boleh dipandu melebihi had laju ditetapkan,” tegasnya.

Mengenai kelayakan pemandu ambulans pula, Hasan menjelaskan, semua mereka mempunyai kelayakan pemanduan yang baik, tetapi hanya segelintir yang tidak mematuhi peraturan.

No comments:

Post a Comment