Sunday, September 11, 2011

jerit penyelamat

Jeritan minta tolong selamatkan mangsa samun

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Panik dengan tindakan mangsa menjerit kuat meminta tolong, tiga penjenayah lari lintang pukang tanpa sempat mengambil barang-barang berharga daripada seorang pekerja restoran yang disamun di Jalan 4/9D Bukit Rawang Jaya dekat sini, hari ini.

Suspek bersenjatakan pisau telah menyerbu masuk ke dalam restoran terbabit pada pukul 3.36 petang dan membawa mangsa ke belakang premis untuk disamun.

Namun, mangsa yang ketakutan tiba-tiba menjerit meminta tolong dan suspek yang bimbang orang ramai menyedari perbuatan mereka segera melarikan diri tanpa sempat mengambil apa-apa daripada lelaki berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supritendan Rosly Hassan berkata, sebaik sahaja penjenayah melarikan diri, mangsa segera menghubungi Balai Polis Rawang untuk melaporkan kejadian tersebut.

Beliau berkata, hasil maklumat mangsa, sepasukan anggota polis peronda segera menjalankan operasi menjejaki suspek dan berjaya memberkas ketiga-tiga penjenayah terbabit dalam tempoh 15 minit selepas menerima laporan.

"Tindakan mangsa melaporkan segera kejadian dan memaklumkan sekali jenis kereta serta nombor pendaftarannya memudahkan polis menjejaki penjenayah berkenaan.

"Hasil maklumat itu, sepasukan anggota polis peronda diketuai Koperal Fuad Ahmad bersama Lans Koperal Razali Zulkifli dan Konstabel Firdaus Alias berjaya memberkas suspek tidak jauh dari tempat kejadian dalam tempoh 15 minit," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati, tiga lelaki berusia 25, 31 dan 36 tahun itu adalah penjenayah yang dicari kerana terlibat dalam cubaan samun di sebuah restoran sebelum itu.

Katanya, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment