Tuesday, September 20, 2011

minta hukuman gantung

Anak minta dihukum gantung

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my

SUNGAI PETANI 19 Sept. - Kebiasaannya tertuduh yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan jenayah akan membuat rayuan untuk mengurangkan hukuman, tetapi lain pula terjadi kepada seorang tukang gunting di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Lelaki berkenaan, K. Pasupathy, 26, yang mengaku bersalah atas pertuduhan menetak ibu kandungnya, S. Krishnamah, 49, bukan saja tidak merayu, malah meminta Hakim Norsalha Hamzah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya.

Tukang gunting itu membuat permintaan berkenaan selepas mengaku bersalah dengan sengaja menggunakan sebilah parang untuk menetak ibunya sehingga menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa di sebuah rumah bernombor 1739, Lorong 36, Taman Ria, di sini, kira-kira pukul 8 pagi, 6 September lalu.

Dakwaan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda dan sebatan atau kedua- duanya.

Semasa pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa, Pasupathy yang tidak diwakili peguam bela mengangguk memahaminya sebelum membuat pengakuan bersalah.

Norsalha kemudian memberikan peluang kepada lelaki itu untuk mengemukakan rayuan sebelum menjatuhkan hukuman.

"Yang Arif, saya memohon hukum gantung sampai mati,'' ujarnya menerusi jurubahasa dalam bahasa Tamil.

Bagaimanapun, selepas jurubahasa menjelaskan bahawa kesalahan tersebut hanya memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun, tertuduh terpaksa beralah.

"Kalau macam itu, saya minta hukuman penjara antara 20 hingga 30 tahun, hukumlah penjara (sehingga) maksimum sebab saya ada banyak masalah peribadi,'' katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Shazwani Syed Hussin yang mengendalikan kes itu meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal memandangkan mangsa merupakan ibu kandung tertuduh selain menjadi pengajaran kepada masyarakat umum.

Norsalha kemudian memerintahkan tertuduh dihukum penjara 10 tahun dan sebatan dua kali.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment