Saturday, September 24, 2011

padah kawin pinjam ah long

Terjerat ah long akibat hantaran kahwin

Oleh AZIZI MAJID
utusanjohor@utusan.com.my


ZALI (kiri) menunjukkan senarai nama ah long dan jumlah pinjaman serta laporan polis kepada Michael Tay di Pejabat Timbalan Pengerusi Biro Aduan Awam MCA Cawangan Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 23 Sept. – Setelah kecewa permohonan pinjaman daripada 10 buah bank tempatan tidak diluluskan, seorang kontraktor terpaksa meminjam daripada ah long untuk membayar wang hantaran perkahwinan.

Bagaimanapun tindakan itu akhirnya mengakibatkan mangsa terjerat hutang dengan tujuh ceti haram.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Zali, 31, berkata, mulanya dia memohon pinjaman daripada bank untuk membayar wang hantaran kepada keluarga mertuanya sebanyak RM10,000 namun permohonannya itu tidak diluluskan.

Zali yang bekerja di Pasir Gudang berkata, dia baru sahaja mendirikan rumah tangga namun akibat kekurangan wang dia terpaksa menangguhkan pemberian wang hantaran tersebut sehingga selesai majlis persandingan.

“Namun sehingga beberapa hari selepas majlis, saya masih tiada wang tersebut menyebabkan saya tidak berfikir panjang dan meminjam daripada ah long.

“Pada mulanya saya mahu meminjam RM10,000 tetapi hanya RM1,000 diluluskan. Tidak sampai seminggu, dia (ah long) meminta saya membayar semula termasuk bunga sebanyak RM1,500,” katanya kepada pemberita di Pejabat Timbalan Pengerusi Biro Aduan Awam MCA Cawangan Johor Bahru, Michael Tay di sini semalam.

Menurut Zali, dia yang tiada wang terpaksa meminjamnya daripada ah long kedua untuk membayar pinjaman daripada ah long terdahulu dan begitulah seterusnya sehingga keseluruhan hutang dengan tujuh ah long menjadi RM12,800.

Dia yang membuat laporan di Balai Polis Pasir Gudang berhubung perkara itu di sini kelmarin, kini berada dalam keadaan tertekan kerana bukan saja tidak mempunyai wang untuk membayar wang hantaran malah dibelenggu dengan hutang ah long.

Sementara itu, Michael berkata, dia akan cuba menghubungi kesemua ah long berkenaan untuk memberi masa kepada kontraktor berkenaan untuk memulangkan kesemua pinjaman tersebut.

No comments:

Post a Comment