Monday, September 12, 2011

menculik nak bayar ahlonng


Culik budak untuk bayar hutang

KUALA TERENGGANU - Gara-gara terdesak untuk mendapatkan wang bagi menjelaskan hutang ah long, seorang juru elektrik sanggup mengkhianati rakannya dengan menculik anak perempuannya yang baru berumur dua tahun sembilan bulan, serta memeras ugut rakannya itu dalam satu kejadian pada 22 Oktober 2006.

Bagaimanapun, tindakannya yang boleh disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan itu terbalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara enam tahun di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.

Hukuman itu dijatuhkan hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa selepas tertuduh, Wan Chee How, 30, dari Kajang, Selangor mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh pada 22 Oktober 2006, kira-kira 12 tengah hari di sebuah rumah di Taman Ibai Indah, kampung Tok Adis, Kuala Ibai, Kuala Terengganu telah menculik seorang kanak-kanak perempuan bernama Bek Sing Wei, berumur dua tahun sembilan bulan daripada penjagaan bapanya, Bek Yong Huat, 44.

Dengan itu, tertuduh didapati telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh pada 22 Oktober 2006, kira-kira jam 12 tengah hari di rumah di Taman Ibai Indah, kampung Tok Adis, Kuala Ibai, Kuala Terengganu dengan sengaja telah melakukan pemerasan untuk mencederakan, yang boleh mendatangkan ketakutan serta memeras ugut Bek Yong Huat, 44, yang juga bapa mangsa agar menyerahkan wang tunai RM42,800.

Tertuduh didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Selepas pengakuan bersalah bagi kedua-dua pertuduhan direkodkan, Mohd Yazid menjatuhkan hukuman lima tahun penjara bagi pertuduhan pertama dan enam tahun penjara bagi pertuduhan kedua dengan hukuman berjalan serentak bermula tarikh ditangkap.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa raya, Mohamad Jazamuddin Ahmad Nawawi manakala tertuduh diwakili peguam bela Vasudevan Appu dan Roy Ging Koi.

Mengikut fakta kes, tertuduh menculik mangsa yang juga merupakan anak bongsu kepada rakannya yang dikenali hampir dua tahun itu untuk mendapatkan wang tebusan sejumlah RM200,000.

Tertuduh bertindak sedemikian untuk menjelaskan hutang ah long sejumlah kira-kira RM70,000 dan menghubungi rakannya itu untuk mendapatkan wang tebusan.

Namun, rakannya menawarkan wang tebusan sebanyak RM50,000 untuk mendapatkan semula anaknya itu sebelum tertuduh bersetuju dengan wang tebusan sebanyak RM100,000.

Rakannya itu kemudian memberikan tunai sejumlah RM20,000 kepada tertuduh manakala RM22,800 diberikan dalam bentuk cek sebelum tertuduh menyerahkan semula kanak-kanak itu kepada rakannya.

Bagaimanapun, selepas itu, rakannya membuat laporan polis dan rentetan laporan dibuat, tertuduh telah ditahan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Inanam, Kota Kinabalu, Sabah pada 1 Mac lalu setelah hampir empat tahun diburu.

No comments:

Post a Comment