Ke mana hilang empat gadis remaja ini?
NIBONG TEBAL 5 April – Ke manakah mereka pergi? Itulah persoalan yang menyelubungi misteri kehilangan empat gadis remaja termasuk sepasang adik-beradik yang tidak pulang ke rumah selepas keluar ke sekolah hari ini.
Pasangan adik-beradik itu, Beh Chin Yuan, 15, dan Beh Ee Xuan, 14, dipercayai hilang bersama dua rakan karib mereka iaitu Ong Shi Nee, 15, dan Soon Shi Xian, 15.
Keempat-empat remaja terbabit meninggalkan nota serta khidmat pesanan ringkas (SMS) yang memaklumkan bahawa mereka akan ‘pergi jauh’ selain meminta supaya keluarga masing-masing tidak bimbang.
Bagaimanapun, keluarga remaja terbabit sangsi nota serta SMS berkenaan ditulis dan dihantar oleh anak-anak mereka.
Difahamkan, keempat-empat remaja berkenaan sering ke sekolah bersama-sama dan tidak pernah lewat pulang ke rumah mereka di Taman Bandar Tasek Mutiara, dekat sini.
Namun, sehingga pukul 9 malam ini, kelibat mereka tidak kelihatan malah telefon bimbit keempat-empat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasek Mutiara itu tidak dapat dihubungi.
Bapa kepada Chin Yuan dan Ee Xuan, Beh Chin Hooi memberitahu, kali terakhir dia melihat kedua-dua anaknya ialah sekitar pukul 7.15 pagi ketika mereka sedang bersiap-siap untuk ke sekolah.
“Kira-kira pukul 1.30 petang, saya terima panggilan dari jiran yang cemas bertanyakan anak saya kerana anaknya tidak pulang dari sekolah.
“Saya minta isteri ke sekolah tetapi diberitahu anak-anak saya tidak ke sekolah hari ini,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis bersama dua lagi keluarga remaja terbabit di ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) petang ini.
Chin Hooi berkata, Chin Yuan juga meninggalkan nota di dalam laci meja sekolahnya tetapi dia dan isteri berasa sangsi ekoran tulisan serta lenggok bahasa yang ditulis dalam nota itu agak meragukan.
Pemandu lori itu menambah, hubungan dia dan isteri dengan kedua-dua anaknya itu selama ini sangat baik dan tidak ada sebarang salah faham berlaku kebelakangan ini.
Bapa Shi Nee, Ong Chuat Hooi, 38, pula memberitahu, dia menerima SMS daripada anaknya itu kira-kira pukul 2 petang ini memaklumkan bahawa dia tidak akan pulang semula ke rumah.
“Saya cuba hubungi telefon bimbitnya (Shi Nee) tetapi tidak dijawab. Sehingga petang ini, talian telefonnya sudah tidak dapat dihubungi lagi,” tambahnya yang bimbang keselamatan anak sulungnya itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah SPS, Supritendan Shafien Mamat yang dihubungi mengesahkan laporan polis oleh keluarga remaja terbabit tetapi enggan mengulas lanjut.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment