Artikel ini hanyalah copy and paste dari website akhbar tempatan ataupun dari website individu. Semua kisah misteri, luar biasa , lucu dari dalam dan luar negeri akan dikumpulkan dalam blog ni. Harap anda terhibur dari segala macam ragam manusia.
Friday, April 22, 2011
UUM
Tolong selesaikan masalah kami - Pelajar UUM
Sebahagian pelajar di Dewan Penginapan Pelajar (DPP) MISC, terpaksa menggunakan baldi untuk mengangkut air ke tingkat atas berikutan tekanan air yang rendah di UUM Sintok.
KUBANG PASU 21 April - Para pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) merayu kepada pihak berkaitan termasuk kerajaan negeri supaya menyelesaikan masalah bekalan air di universiti itu yang semakin serius sejak dua tahun lalu.
Rata-rata wakil pelajar yang ditemui menyuarakan kesulitan mereka untuk mendapatkan bekalan air bersih khususnya pada waktu puncak sehingga menjejaskan keselesaan kehidupan mereka sebagai seorang pelajar.
Menurut mereka, meskipun pihak pengurusan UUM membantu termasuk menyediakan infrastruktur, namun masalah berkenaan tidak akan dapat diatasi sepenuhnya jika pihak bertanggungjawab gagal menyalurkan jumlah bekalan air yang mencukupi ke universiti berkenaan.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UUM, Amer Izzuddin Abdul Rashid, 22, berkata, masalah kekurangan bekalan air itu telah lama membelenggu pelajar dan ia semakin serius berikutan pertambahan pengguna di universiti tersebut yang kini dianggarkan mencecah 30,000 orang.
Ekoran masalah itu, katanya, ada pelajar yang tidak mendapat bekalan air secukupnya bahkan ia kerap terputus dengan mengambil masa antara empat hingga lima jam sebelum kembali pulih.
"Pihak universiti telah berusaha sedaya upaya untuk mengatasi masalah ini termasuk mengangkut air menggunakan lori.
"Saya memohon pihak berkaitan supaya turut mengambil perhatian untuk membantu menyelesaikannya kerana ia tidak boleh diletakkan di atas bahu pihak pengurusan UUM semata-mata," katanya.
Wakil pelajar yang tinggal di Dewan Penginapan Pelajar (DPP) MISC, Nur Idayu Ahmad Azami, 25, pula memberitahu, bekalan air khususnya di blok D yang menempatkan penuntut wanita kerap terputus hampir setiap hari dari pukul 5 petang hingga 1 pagi.
Keadaan itu, katanya, amat menyulitkan pelajar terutama yang tinggal di tingkat atas apabila terpaksa ke blok-blok bersebelahan untuk mengangkut air menggunakan baldi.
"Mahu tidak mahu kami terpaksa juga mengangkut air bagi kegunaan untuk mandi dan solat. Kami amat berharap masalah ini tidak akan berterusan," katanya.
Pendapat itu turut dikongsi oleh wakil pelajar dari DPP Proton, Mohd. Syahmi Zakaria, 24, yang khuatir mengenai tahap kebersihan air yang dibekalkan dari luar itu.
"Ada pelajar yang memberitahu saya mereka melihat monyet berenang dalam tangki air terbabit," katanya.
Seorang lagi wakil pelajar dari DPP Yayasan Al-Bukhary (YAB), R. Prabanandan, 23, mengucapkan terima kasih kepada pengurusan UUM yang mencari jalan untuk membantu mereka mengatasi masalah berkenaan sehingga terpaksa mengeluarkan belanja kira-kira RM100,000 sebulan bagi tujuan itu.
"Mujur pengurusan universiti bantu, kalau tidak masalah ini akan bertambah serius," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment