Tuesday, April 12, 2011

Dadah

Bekas pemain bola, isteri ditahan edar dadah

KUALA TERENGGANU 11 April - Gara-gara mengambil jalan mudah untuk kaya dengan mengedar dadah, bekas pemain bola sepak Piala Presiden Terengganu 2010 bersama isterinya ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Tasik, Wakaf Dua, Bukit Payung, Marang, Sabtu lalu.

Dalam serbuan pada pukul 9.30 malam itu, polis menemui 30 botol dadah jenis heroin seberat 120 gram yang disembunyikan di dalam sebuah beg tangan yang dipercayai dibimbit oleh isterinya yang berasal dari Kampung Lubuk Perah, Wakaf Tapai dekat sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Supritendan Roslan Abd. Wahid berkata, dadah yang ditemui itu dipercayai dari Thailand berdasarkan pembalut yang digunakan daripada helaian kertas surat khabar dari negara terbabit.

Katanya, ketika serbuan dijalankan, kedua-dua suspek yang enggan membuka pintu setelah mengetahui kedatangan pihak polis berjaya ditahan ketika dipercayai cuba melupuskan bahan bukti.

"Suspek yang berusia 21 tahun berasal dari Kampung Bukit Nangka, Tepoh, ditahan sewaktu berada di dalam bilik air manakala isterinya, 34 tahun, ditangkap ketika cuba melarikan diri bersama sebuah beg tangan di bahagian dapur," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam serbuan itu, polis turut menyita harta kedua-dua suspek yang bernilai keseluruhannya RM217,412 iaitu termasuk wang tunai, akaun-akaun bank, kereta jenis Honda Feroi, motosikal jenis Honda EX5 serta seutas rantai tangan dan rantai leher.

Tambahnya, bagaimanapun hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah.

Katanya, pihak polis percaya kegiatan tersebut telah dilakukan sejak beberapa tahun lalu memandangkan isteri suspek pernah ditahan atas kesalahan yang sama pada 2007.

Kedua-dua suspek yang dipercayai menganggur itu direman selama tujuh hari sehingga 15 April ini untuk siasatan lanjut.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati," jelasnya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment