Artikel ini hanyalah copy and paste dari website akhbar tempatan ataupun dari website individu. Semua kisah misteri, luar biasa , lucu dari dalam dan luar negeri akan dikumpulkan dalam blog ni. Harap anda terhibur dari segala macam ragam manusia.
Saturday, April 16, 2011
Wajah Pudu
Wajah segar Hentian Puduraya
Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
kota@utusangroup.com.my
Konsep moden yang digunakan berjaya menampilkan elemen segar pada wajah baru Hentian Puduraya yang bakal dibuka semula Sabtu ini. - UTUSAN/ASWAD YAHYA
KUALA LUMPUR 14 April - Hentian Puduraya tidak pernah pudar popularitinya sejak dibuka pada 1976 dengan hampir setiap warga kota mempunyai kenangan menggunakan hentian tersebut.
Selain fungsi utamanya sebagai hentian bas, ia juga tidak pernah suram daripada pelbagai kisah lain seperti punca kesesakan lalu-lintas di jalan sekitarnya, tempat tumpuan penyeluk saku, ulat tiket dan sebagainya.
Hentian itu yang ditutup sejak kira-kira setahun lalu untuk proses pengubahsuaian dan naik taraf, kini bersedia untuk dibuka semula pada Sabtu itu dengan wajah baru yang lebih segar dan moden.
Dengan kos pengubahsuaian sebanyak RM52 juta, hentian itu pasti akan memberi lebih keselesaan kepada orang ramai seperti yang dirasai oleh penumpang di Terminal Bersepadu Selatan Bandar Tasik Selatan.
Antara kemudahan yang disediakan ialah ruang menunggu yang lebih luas dan selesa, lif, eskalator dan juga tandas awam yang turut dilengkapi dengan kemudahan mesra pengguna dari kalangan orang kelainan upaya (OKU).
Di samping itu, perubahan ketara juga boleh dilihat melalui kaunter tiket yang lebih cantik dan sistematik di tingkat satu, medan selera di tingkat empat dan dewan solat yang mampu menampung 400 orang jemaah.
Lantainya yang menggunakan jubin berkilat, ditambah pula jumlah lampu yang banyak menjadikan suasana di dalamnya jauh berbeza daripada suasana sebelum ini.
Wajah luaran hentian itu juga memperlihatkan perubahan yang ketara dengan reka bentuk kontemporari dan penggunaan warna yang menyegarkan.
Pengarah Urusan UDA Holdings Berhad, Datuk Jaafar Abu Hassan berkata, kerja-kerja naik taraf itu kini berada pada tahap akhir dengan 98 peratus daripada keseluruhan kerja sudah disiapkan.
Ketika ini, kerja-kerja akhir seperti pendawaian dan pemasangan sistem penyedut asap kenderaan di tingkat bawah sedang dilaksanakan sebagaimana yang diminta oleh pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Beliau berkata demikian pada media selepas membuat lawatan bersama media ke Hentian Puduraya di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Adnan Md. Ikhsan dan Ketua Operasi Negeri dan Perlesenan Terminal SPAD, Mohd. Fuad Ahmad.
Beliau berkata, dengan pembukaan semula Hentian Puduraya, hentian sementara di Bukit Jalil akan ditutup dan semua operasi bas ke utara akan kembali semula ke Hentian Puduraya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment