Artikel ini hanyalah copy and paste dari website akhbar tempatan ataupun dari website individu. Semua kisah misteri, luar biasa , lucu dari dalam dan luar negeri akan dikumpulkan dalam blog ni. Harap anda terhibur dari segala macam ragam manusia.
Friday, April 22, 2011
Tangkap Pencuri Kabel TM Bagi Hadiah
TM hargai penangkap pencuri kabel
Mazlan Lazim (empat dari kanan) bersama Ab. Rashid Che Othman (tiga dari kiri) pada majlis penyerahan sagu hati di Sekolah Kebangsaan Mentera, Kota Bharu, baru-baru ini.
KOTA BHARU 21 April - Rasa tanggungjawab membanteras jenayah termasuk kecurian kabel milik Telekom Malaysia Berhad (TM) yang ditunjukkan oleh 80 penduduk di negeri ini, mendapat penghargaan syarikat telekomunikasi itu.
TM dalam satu majlis kelmarin telah mengagihkan sagu hati berjumlah RM14,000 kepada mereka sebagai tanda penghargaan di atas sumbangan berkenaan.
Pemberian sagu hati itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim di Sekolah Kebangsaan (SK) Mentera dekat sini dengan dihadiri Pengurus Besar TM, Ab. Rashid Che Othman.
Seorang penerima, Zakaria Abdullah, 63, berkata, dia marah setiap kali mendengar jenayah kecurian termasuk kabel TM dan berasa bertanggungjawab untuk membanterasnya.
Menurutnya, dia berjaya mematahkan cubaan tiga lelaki yang cuba mencuri kabel TM di Kampung Mentera dekat sini, kira-kira pukul 4 pagi, tiga minggu lalu yang mana penjenayah terbabit turut cuba bertindak ganas melanggarnya.
"Saya terjaga dari tidur apabila terdengar bunyi di luar rumah. Saya segera keluar dan melihat ada seorang lelaki memanjat tiang telefon.
"Saya mengendap dan melihat dua lagi rakannya menunggu berhampiran sebuah kereta. Mereka cuba lari selepas menyedari kehadiran saya tetapi saya sempat memecahkan cermin kereta mereka," katanya.
Zakaria berkata, dia menyangka ketiga-tiga penjenayah itu sudah melarikan diri, sebaliknya mereka berpatah balik dan bertindak melanggarnya, tetapi berjaya dihalang oleh penduduk kampung menyebabkan kereta penjenayah terbabit terbabas ke dalam tali air berdekatan.
"Kami berjaya menangkap ketiga-tiga mereka dan menyerahkan kepada polis," katanya.
Seorang lagi penerima, Noor Akmar Awang, 43, dari Kampung Badak, Bachok berkata, dia juga amat marah dengan jenayah kecurian kabel TM yang semakin serius akhir-akhir ini kerana ia turut mendatangkan masalah kepada orang ramai.
Jelasnya, dia berpakat dengan rakan-rakan untuk mengadakan intipan di kawasan yang sering berlaku kecurian di kampung mereka dan selepas tiga minggu, terserempak dengan pencuri terbabit.
"Kami menangkap dan membawa pencuri berkenaan ke balai polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment