Bomoh disyaki rogol pelajar
Oleh SAFINA RAMLI
kedah@utusan.com.my
KUBANG PASU 8 April – Seorang bomoh dari Simpang Kemboja, Ayer Hitam di sini ditahan polis kelmarin kerana disyaki merogol seorang pelajar tingkatan lima yang menjalani rawatan menghalau hantu dari dalam tubuhnya di rumah pengamal perubatan tradisional itu Selasa lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Ibrahim Mohd. Yusuf (gambar) berkata, mangsa pergi ke rumah bomoh tersebut bersama ibu bapanya kira-kira pukul 7 malam Isnin lalu dan bomoh tersebut memberitahu bahawa ada hantu yang menumpang tubuh pelajar tersebut.
“Bomoh tersebut menyuruhnya datang semula keesokan harinya bagi menerima rawatan susulan,” ujarnya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, di sini hari ini.
Menurut Ibrahim, apabila datang semula ke rumah bomoh itu, pelajar tersebut diarahkan untuk masuk ke dalam bilik bersama lelaki berusia 36 tahun itu manakala ibu bapa pelajar tersebut menunggu di ruang tamu.
“Ketika kejadian, isteri bomoh tersebut berada di dapur dan selepas kejadian rogol berlaku, pelajar tersebut menceritakan kejadian tersebut kepada ibu bapanya.
“Polis menerima laporan daripada keluarga pelajar tersebut pada hari Rabu dan bomoh tersebut ditahan di tempat kerjanya di Kolam Udang Kerpan pada petang Rabu,” katanya.
Jelasnya, bomoh tersebut kini ditahan reman selama empat hari bermula semalam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment