Tahanan reman lari guna kereta polis
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PAPAR: Seorang tahanan reman kes pecah rumah licik melarikan diri menggunakan kereta polis selepas dia ditinggalkan di dalam kenderaan itu berseorangan ketika dibawa untuk siasatan di lokasi jenayah dilakukannya di sini, kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari, ketika suspek, Norzaleh Md Sipin, 33, dibawa anggota polis ke Kampung Sedul, Ranau, di sini untuk siasatan lanjut berhubung kegiatan yang pernah dilakukannya di kampung itu.
Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan George Rakman berkata, suspek ditahan di Labuan pada 15 April lalu kerana disyaki terbabit kes pecah rumah di daerah ini dan kesnya disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Untuk siasatan, polis membawanya ke lokasi kejadian bagi pengesahan mengenai beberapa bahan bukti yang dijualnya kepada seorang lelaki di kampung itu.
“Suspek dibawa ke kampung itu dengan kereta peronda polis. Bagaimanapun, dia tidak tahu nama kampung yang hendak dituju menyebabkan dua anggota polis membawanya menahan sebuah kereta yang melalui kawasan itu bagi bertanya nama kampung berkenaan.
“Ketika itulah suspek mengambil kesempatan melarikan diri dengan memandu kereta polis,” katanya.
George berkata, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ranau dan IPD Telupid sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan usaha sedang giat sedang dijalankan bagi mengesan suspek.
“Kereta peronda polis itu berjaya ditemui di sekitar Telupid beberapa jam kemudian. Di dalamnya, polis menemui kemeja-T berwarna merah jenama Adidas dan kemungkinan besar suspek menukar pakaian sebelum melarikan diri,” katanya.
Menurutnya, buat masa ini, suspek masih bebas dan usaha sedang dijalankan di semua daerah.
“Dia berasal dari Kota Belud dan beralamat terakhirnya di Kampung Suang Parai, Menggatal. Dia juga berbadan tegap, mempunyai ketinggian 1.67 meter serta mempunyai tatu berbentuk lipan di lengan kanan, tengkorak di lengan kiri dan bentuk Maori di kaki kanan,” katanya.
Sehubungan itu, George meminta orang ramai yang mengenali atau ternampak lelaki berkenaan menghubungnya di talian 016-8819145, Bilik Gerakan IPD Papar 088-916064, Inspektor Che Rosli di talian 016-8437878 atau mana-mana balai polis berdekatan.
No comments:
Post a Comment