Pipi lebam kena tampar
Oleh Norfaisal Jahuri
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
JASIN: Seorang murid tahun satu sebuah sekolah rendah di daerah ini berbirat pipi selepas mendakwa menerima ‘penampar Jepun’ daripada guru lelaki sekolah berkenaan, pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, Muhammad Khairul Nizam Mohd Norizam dikatakan terbuang air besar dalam seluar membuatkan guru berkenaan berang lalu menampar pipinya beberapa kali menyebabkan murid itu menangis kesakitan.
Difahamkan kejadian berhampiran kantin sekolah itu turut disaksikan murid lain kebetulan berada di situ untuk menjamu selera pada waktu rehat.
Bapa mangsa, Mohd Norizam Ali, 35, berkata dia menyedari pipi anaknya mempunyai kesan birat berhampiran telinga kiri ketika menurunkannya dari motosikal selepas menjemputnya pulang sekolah.
Dia bertanyakan bagaimana kesan yang nampak jelas kemerah-merahan serta mempunyai garisan itu boleh terjadi dan anaknya memberitahu dia ditampar seorang guru.
“Saya terus ke sekolah bersama anak dan ditemani isteri (Noorjumaaton Nawawi, 32) yang sarat mengandung untuk menemui guru terbabit bagi meminta penjelasan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Jaya Batang Melaka, dekat sini, semalam.
Mohd Norizam mendakwa setiba di sekolah dia menemui guru berkenaan dan bertanyakan mengenai kejadian itu dan guru itu mengaku menampar pipi anaknya, tetapi mendakwa menampar pipi kanan, bukannya pipi kiri yang berbirat.
“Anak saya bagaimanapun memberitahu dia ditampar di pipi kiri menyebabkan guru terbabit terdiam. Saya kemudian berjumpa guru besar bagi mendapatkan penjelasan, tetapi guru besar berkata dia tahu mengenai perkara itu kerana ketika kejadian dia tiada di sekolah,” katanya yang bekerja sendiri.
Menurutnya, guru besar terbabit meminta maaf mengenai kejadian itu manakala guru lelaki yang menampar anaknya hanya berdiam diri. “Saya tidak kisah kalau Muhammad Khairul Nizam dihukum kerana melakukan kesalahan tetapi bukanlah dengan menampar atau mencederakan di bahagian muka.
“Saya sendiri ada merotannya, tetapi memadailah sebagai pengajaran, bukan mengikut emosi,” katanya.
Mohd Norizan berkata, guru besar sekolah berkenaan datang ke rumahnya petang kelmarin untuk melihat keadaan anaknya selain mengambil beberapa keping gambar kesan kecederaan.
Katanya, perbuatan menampar anaknya itu agak keterlaluan memandangkan Muhammad Khairul Nizam cuma murid tahun satu dan bukan sengaja membuang air besar dalam seluar.
“Anak saya trauma dengan kejadian itu dan enggan ke sekolah pagi tadi (semalam) kerana takut untuk berhadapan dengan guru berkenaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment